Warga emas perlu divaksin, ikuti penjelasan pakar

Warga emas perlu divaksin, ikuti penjelasan pakar

Warga emas perlu mengambil vaksin Covid-19 kerana mereka lebih terdedah untuk dijangkiti dan meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Pakar geriatrik, Dr Ungku Ahmad Ameen berkata, tempoh pemulihan warga emas juga adalah lebih lama berbanding pesakit biasa.

Justeru dia meminta warga emas berusia 60 tahun ke atas agar mendapatkan vaksin untuk mencegah penularan wabak berkenaan.

Ungku, yang merawat pesakit Covid-19 di kalangan warga emas di Pusat Rehabilitasi Cheras, berkata ramai pesakit warga tua menderita meskipun setelah dibenarkan keluar dari hospital.

“Pesakit biasa biasanya keluar dari wad Covid-19 setelah 14 hari tetapi bagi pesakit berusia, setelah hari ke-14 mereka masih tidak sihat, masih lemah dan masih tidak dapat berjalan dengan baik.

“Mereka mengatakan rasa berbeza sebelum dan selepas dijangkiti penyakit ini. Mereka lebih lemah dari biasa.

“Oleh itu, melihat kadar kematian, kesan penyakit dan kesejahteraan warga emas; perkara yang perlu dilakukan adalah mencegah mereka daripada mengidap penyakit itu sendiri,”katanya semasa forum dalam talian bertajuk “Pelan vaksinasi untuk kakitangan dan warga emas di rumah penjagaan orang tua ”.

Mengulas lanjut, Ungku berkata pesakit Covid-19 yang berusia cenderung dikesan lebih lewat, menghadapi komplikasi dan tempoh pemulihan yang lebih lama.

“(Bila) menguruskan pesakit tua di hospital, kita dapat melihat kebanyakan mereka adalah pesakit lemah. Dan ketika mereka masuk, ada kemungkinan mereka terlambat ke hospital.

“Dan kemudian pemulihan perlukan masa. Sebagai contoh (mereka yang mempunyai) komplikasi seperti pembekuan darah di paru-paru dan juga kerosakan pada paru-paru – kumpulan pesakit ini akan memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih, ”katanya.

Di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, warga emas akan diberi vaksin pada fasa 2 (April hingga Ogos 2021).

Vaksinasi adalah percuma bagi semua individu yang mendaftar tanpa mengira status kewarganegaraan.

Sehingga 19 Februari, Malaysia mencatatkan 1,043 kematian Covid-19, yang kebanyakannya adalah warga emas.

Beberapa kluster dikesan di rumah orang tua setakat ini di Kuala Selangor, Kluang, Lembah Pantai, Ipoh, Serdang dan Melaka.

Ungku hari ini memaklumkan bahawa Pusat Rehabilitasi Cheras sedang merawat sembilan pesakit Covid-19 yang datang dari pusat jagaan orang tua.

Dia berkata pusat ini mempunyai 60 katil dan mengambil pesakit Covid-19 berusia 70 tahun ke atas, yang sama ada dalam Kategori 1 (tanpa gejala), Kategori 2 (gejala ringan) atau Kategori 3 (gejala yang lebih serius).

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563703

COMMENTS