Wanita teruja timang cucu pada usia 35 tahun

Wanita teruja timang cucu pada usia 35 tahun. “NAK nangis tepi bucu katil… aku dah 35 tahun pun tak kahwin lagi, orang lain dah jadi nenek. Tahniah awak.”

Demikian antara reaksi warganet selepas menonton rakaman video seorang wanita berusia 35 tahun sedang mendukung cucu yang baru dilahirkan pada 13 Ogos lalu.

Momen yang dianggap ‘rare’ dalam era milenia ini menyebabkan video yang dimuat naik @haridaycosmetic ditonton lebih 1.2 juta pelayar aplikasi TikTok.

Bagaimanapun ramai yang tidak percaya dan menganggap cucu yang dimaksudkan itu adalah anak kepada saudara mara yang berpangkat lebih muda.

“Ni mesti anak kepada anak buah dia… macam saya dah pangkat nenek juga umur 30 tahun.

“Mesti cucu saudara kot.

“Maksu saya umur 24 tahun dah jadi nenek… anak buah kahwin awal.

“Saya anak buah ramai dah kahwin, saya umur 40-an… cucu dah ada 15 orang,” ujar beberapa netizen.

Mengulas tentang reaksi warganet itu, nenek muda tersebut, Nur Fadilah Che Ahamad yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan mengakui bahawa bayi perempuan yang dipegang itu adalah cucunya sendiri.

Bercerita mengenainya, dia yang mesra disapa Dila berkata keadaan ini berlaku selepas anaknya, Nurin Idrina Muhd Muhizan berkahwin ketika usia 15 tahun pada tahun 2020.

“Pada awalnya, saya sekeluarga tidak menyangka yang Nurin hamil. Tambahan pula, kami merancang supaya dia tidak mengandung di usia muda tapi tiba-tiba dia maklumkan bahawa sudah hamil.

Wanita teruja timang cucu pada usia 35 tahun

“Lagipun dia sudah lama berkahwin. Jadi kami sekeluarga menerima dengan hati terbuka,” kata Dila yang turut teruja kerana mendapat cucu di usia 35 tahun.

Malah dia merasakan kewujudan cucu yang baru berusia tidak sampai 20 hari itu seperti anaknya sendiri, lantas gembira untuk membeli barang-barang keperluan bayi sebagai persiapan.

Menurutnya yang mempunyai lima anak, Nurin sendiri tidak kekok untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu walaupun baru berusia 17 tahun.

“Mungkin sebab dia anak sulung dan pernah menjaga adik-adiknya sebelum ini. Pada masa ini, Nurin berpantang di rumah dan saya menjaga dia sebaiknya.

“Setiap pagi memang saya tolong uruskan, tapi petang Nurin akan ambil alih dan menjaga bayinya bersama suami,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman sebagai nenek muda, Dila memberitahu, ramai yang tidak menyangka bahawa bayi comel tersebut adalah cucunya sendiri.

“Semasa saya bawa pergi check kuning di klinik kesihatan, orang ramai yang melihat menyatakan saya adalah mak saudara atau kakak kepada bayi.

“Bila saya maklumkan yang saya ni opah (nenek), mereka tak percaya… sesetengah jururawat tahu tapi sesetengahnya saya diamkan saja. Lebih-lebih lagi apabila mereka bertanyakan umur.

“Kalau merek tengok TikTok, mereka tahu la tentang saya sampai ada yang WhatsApp semata-mata nak bertanya sama ada betul ataupun tidak video tular tu. Selepas dimaklumkan, ramai yang ucap tahniah sebab jadi nenek termuda,” ceritanya gembira.

Ketika ditanya sama ada dia berkemungkinan mempunyai anak sendiri kerana masih muda, Dila berkata, dia dan suami sudah tidak berhasrat ke arah tersebut.

Namun katanya, dia sedia menerima jika ditakdirkan rezeki mempunyai anak lagi.

Kalau ikutkan memang tak nak bagi dia kahwin bawah umur, sedih tak boleh nak cerita masa tu… tapi saya anggap ia sebagai takdir, jadi teruskan perkahwinan mereka berdua.
DILA
“Saya dan suami dah stop untuk ada anak tapi kalau ada rezeki tak tolak…cucu ni pun dah rasa macam anak sendiri,” luahnya.

Bercerita lanjut, dia turut berkongsi pengalaman ketika Nurin dikahwinkan pada usia 15 tahun.

Mengakui pernah menerima hinaan dan herdikan termasuk anaknya dikatakan hamil luar nikah, Dila mengambil keputusan untuk berdiam diri dengan kata-kata orang sekeliling.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam pinggang kerengga! Ramai kagum ibu anak 7 ini pandai jaga badan… Sebab suami ringan tulang, tak berkira tambah lagi!

ARTIKEL BERKAITAN: Umur belum 30 tahun tapi dah 5 kali hamil! Suami ‘selfish’ sanggah nasihat ikat rahim, rela isteri jadi ‘kilang anak’ walau berisiko maut

“Ada cerita di sebalik perkahwinan mereka, dia pun ambil keputusan tak nak sekolah dan asyik keluar dengan lelaki yang jadi suami dia sekarang ini… jadi kami sekeluarga ambil keputusan untuk kahwinkan mereka supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Lagi pula dia dah tak fokus untuk belajar di sekolah.

“Kalau ikutkan memang tak nak bagi dia kahwin bawah umur, sedih tak boleh nak cerita masa tu… tapi saya anggap ia sebagai takdir, jadi teruskan perkahwinan mereka berdua.

“Awal-awal anak kahwin masa umur remaja, ramai yang kata dan bagi pandangan serong tapi saya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

“Pernah dengar orang cakap yang Nurin mengandung dulu sebelum kahwin, ada juga yang cakap perut dia dah buncit masa pakai busana pengantin dulu… tapi hakikatnya tidak pun. Jadi saya ketepikan cakap-cakap orang dan enggan ambil pusing tuduhan yang dilemparkan. Saya kahwinkan Nurin pun sebab bimbang perkara-perkara macam tu berkalu,” imbaunya.

Menurut Dila, suaminya juga sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak sulung mereka akan berkahwin di usia muda, namun terpaksa akur demi masa depan yang terjamin.

Malah dia tampil menjadi wali semasa akad nikah berlangsung.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Dalam pada itu, dia turut menzahirkan rasa syukur kerana anaknya sudah pandai berdikari di usia remaja dan kini sedang menjalankan bisnes bersama ibu saudaranya yang lain.

Malahan, suaminya yang kini berusia 18 tahun sudah mempunyai kedai makan sendiri.

“Kedua-dua mereka sudah bijak untuk menjana pendapatan sendiri dan sangat bertanggungjawab serta tidak bergantung harap pada keluarga,” katanya mengakhiri bicara.

BACA:

Sesi ceramah bertukar pilu bila Mizz Nina mengalirkan air mata

Tun M tak gembira Najib dipenjara, “Saya yang naikkan dia jadi PM”