Wanita Amanah desak PH tambah baik pengurusan serta lebarkan kerjasama

Wanita Amanah desak PH tambah baik pengurusan serta lebarkan kerjasama

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) memandang serius dengan perkembangan yang berlaku semasa pengundian Bajet 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 26 November yang lepas. Satu situasi yang kami sifatkan sebagai sangat mengejutkan dan tidak sewajarnya berlaku.

Justeru, kami ingin menyatakan solidariti kami bersama rakyat daripada pelbagai peringkat dan kaum yang turut dibadai pertanyaan, kritikan dan keraguan tentang adakah Pakatan Harapan (PH) benar-benar masih boleh diharap.

Persoalan, kritikan dan keraguan umum ini mesti dipandang serius oleh kepimpinan tertinggi semua parti dalam komponen PH. Majlis Presiden PH wajib menzahir kewibawaan secara kolektif dengan mengembalikan nilai “equal partnership” dan “smart leadership”, guna melahir satu keputusan matang dengan pelaksanaan strategi cekap dan mantap, bukannya berlindung di sebalik ungkapan strategi dan taktikal yang hakikatnya dilihat sebagai kegagalan berulang.

Kritikan bersifat konstruktif harus dijawab dengan jujur. Sebarang kekhilafan dalam proses mencapai konsensus tidak wajar dijadikan alasan menafikan peluang untuk terus memperbaiki persembahan PH ke hadapan, sekaligus melebarkan kerjasama politik melalui satu “Grand Coalition”, dengan PH sebagai katalis pencetus.

“Grand coalition” yang bukan mencari bayangan di dalam gelap, tetapi menerangi yang gelap agar dapat melihat yang lebih ramai. Kita mahu mendengar lebih banyak suara kepemimpinan untuk rakyat yang upaya mengangkat pandangan-pandangan bernas, bukannya semata-mata echo yang akhirnya bikin kita semua lemas.

Membangun dan mengukuhkan kerjasama politik Pakatan Harapan menuntut usaha serius dan kolektif bagi menambahbaik pengurusan gabungan itu sendiri samada dalam proses membuat keputusan, mahupun pelaksanaan kepada keputusan.

Proses-proses itu selain memerlukan kecekapan bertindak, perkara-perkara seperti kejujuran, ketelusan, keterbukaan, kebersamaan, dan kebertanggungjawaban bersama adalah dituntut padu.

Saya telah menyatakan dengan jelas kepada Presiden dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa yang kita perlukan adalah penjelasan tuntas. Kita tidak mahu jawapan-jawapan berulang bertujuan melindungi atau meletakkan keputusan seseorang individu terhadap perkara yang sangat penting, seolah begitu tinggi melebihi keputusan dan suara organisasi atau berpasukan. Kita tidak pernah diajar berjuang untuk mana-mana individu, hatta termasuk diri kita sendiri.

PH adalah gabungan kerjasama politik yang seharus sudah lebih matang, perlu terus diperkukuh dan ditambahbaik daripada pelbagai aspek dengan penyertaan seimbang samada daripada sudut suara dan keputusan. Pengurusan PH dituntut memberi fokas usaha tambahbaik yang holistik .

Mempertahankan PH tidak seharusnya bermaksud mempertahankan mana-mana tokoh atau individu pimpinan, sebaliknya mempertahankan dasar, prinsip dan keputusan bersama. PH bukan gabungan kerjasama politik milik mana-mana tokoh atau parti secara selektif.

Mempertahankan PH seharusnya bermaksud keinginan dan kesanggupan mengukuhkan muafakat dan konsensus untuk menghasil keputusan bersama. Mempertahankan PH bermaksud memperakui secara jelas dan tuntas bahawa ‘we are all equal partners’.

Akhirnya, adalah amat penting untuk kita menetapkan posisi dan perspektif dalam menangani isu sebenar PH secara positif dan responsif. Bermula dengan memahami bahawa persoalan yang ada di hadapan kita pada hari ini bukan berkisar soal kesetiaan atau hipokrasi kita sama ada terhadap PH ataupun ketokohan mana-mana individu pimpinan tertinggi PH, tetapi terkait keupayaan menjalankan tugas dan peranan yang diamanahkan secara berkesan. Antara kejayaan dan kegagalan, di sana sebenarnya kita tiada pilihan!

#PerkukuhkahPakatanHarapan
#GrandCoalition
#AmanahDemiNegara
#AWANNasional
#MajuTerus!

SENATOR HJH RAJ MUNNI @ AIMAN ATHIRAH SABU
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara

Kuala Lumpur,
29 November 2021

Sumber :

COMMENTS