VIDEO] Nelayan jumpa 50 ekor ikan lumba-lumba di perairan Teluk Kumbar

VIDEO] Nelayan jumpa 50 ekor ikan lumba-lumba di perairan Teluk Kumbar

Nelayan jumpa 50 ekor ikan lumba-lumba di perairan Teluk Kumbar.Sekumpulan tiga nelayan pantai tergamam sebaik sahaja terserempak kumpulan kira-kira 50 ekor ikan lumba-lumba di perairan berhadapan Jeti Teluk Kumbar, di sini petang tadi.

Spesies marin dengan anggaran saiz dua meter itu ditemukan pada pukul 1.30 petang ketika mereka dalam perjalanan menangkap ikan di kawasan Pulau Rimau.

Salah seorang nelayan terbabit, Mohamad Fadli Othman, 33, berkata, peluang terserempak dengan kumpulan ikan lumba-lumba itu adalah pengalaman yang berbeza baginya kerana spesies berkenaan dalam jumlah yang besar.

RAKAMAN video oleh nelayan yang terserempak dengan kumpulan ikan lumba-lumba di perairan berhadapan Jeti Teluk Kumbar.

“Biarpun pernah lima kali menemukan kelibat ikan lumba-lumba pada tahun ini tetapi kali ini cukup memberi momen manis buat kami sebelum keluar mencari hasil laut hari ini.

“Sekumpulan ikan lumba-lumba kelihatan berenang dan melompat di tepi bot dan saya sempat merakam video sebagai tatapan rakan nelayan di Teluk Kumbar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Fadli memberitahu, dia tidak dapat memikirkan nasib yang bakal dihadapi kumpulan nelayan pantai termasuk hidupan laut di perairan ini sekiranya projek tambak laut bagi membentuk tiga pulau buatan dilaksanakan kelak.

“Kita mungkin tidak lagi berpeluang menikmati keindahan hidupan laut seperti ini termasuk ikan yu paus yang ditemui rakan saya bulan lalu sekiranya projek mega itu diteruskan,” jelasnya.

Terdahulu, Mohamad Fadli berjaya merakam video sekumpulan ikan lumba-lumba berenang dan melompat di sepanjang perairan dekat Jeti Teluk Kumbar dan Hotel Lexis yang berdurasi satu minit 43 saat.

BACA: Mangsa banjir di Teluk Intan di laporkan meningkat

COMMENTS