Video Air mata Nadine buat ramai netizen emosi

Video Air mata Nadine buat ramai netizen emosi

Video seorang kanak-kanak Palestin berusia 10 tahun, Nadine Abdullatif menangis ketika berdiri di depan rumahnya yang dibom Israel, kini ditonton lebih 13 juta kali.

“Anda melihat semua ini?” dia bertanya sambil memberi isyarat pada runtuhan di belakangnya.

“Apa yang anda harapkan saya lakukan? Betulkan? Saya hanya 10 (tahun).”

Suaranya penuh dengan emosi.

“Saya hanya mahu menjadi doktor atau apa sahaja untuk membantu rakyat saya, tetapi saya tidak boleh. Saya hanya seorang kanak-kanak,” katanya.

Middle East Eye melaporkan ia memberi gambaran kekejaman Israel yang membedil Semenanjung Gaza yang menempatkan lebih dua juta orang. Dianggarkan, 40 peratus daripada penduduk Palestin di Gaza berusia di bawah 14 tahun.

“Ketika mereka mengebom rumah di sebelah kami, saya mendengar bunyinya sangat kuat kerana ia sangat dekat dengan kami dan saya sangat takut,” kata Nadine kepada Middle East Eye dalam satu panggilan telefon.

“Adik lelaki saya yang berusia enam tahun ketakutan. Saya menyembunyikan rasa takut dalam diri saya supaya adik saya tidak terlalu takut. Saya selalu berusaha menyembunyikan ketakutan saya kerana saya berusaha menjaga adik saya. Saya mahu dia berasa selamat.

“Ketika tembakan, saya memeluknya dengan kuat. Saya tetap di sisinya dan tidur di sebelahnya. Saya menjauhkannya dari tingkap kerana dia akan mula menangis,” katanya.

Israel dan Hamas mengumumkan gencatan senjata pada pagi Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza selama 11 hari sejak 10 Mei lalu meragut 253 nyawa.

Kementerian Kesihatan di Gaza mendedahkan ia termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 warga emas, manakala 1,948 lain cedera, termasuk 20 dalam keadaan kritikal.

Menurut Majlis Pelarian Norway (NRC), 11 orang yang berumur antara lima hingga 15 tahun yang mendapat kaunseling dengan pihaknya, maut.

Semua mangsa berkenaan meninggal dunia ketika berlindung di dalam kediaman mereka.

Antara kanak-kanak itu ialah Lina Iyad Shar, 15, yang meninggal dunia bersama ibu bapanya pada 11 Mei di kawasan al-Manara di Gaza.

NRC mengatakan adik perempuan Shar, Mina, 2, melecur tahap tiga dan masih dalam keadaan kritikal.

Serangan yang sama juga mengorbankan Zaid Mohammad Telbani, 34, dan ibunya, Rima, yang hamil lima bulan.

Adik Zaid masih hilang dan dianggap mati.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/utama/2021/05/710237/air-mata-nadine-buat-ramai-emosi

COMMENTS