Usul undi percaya : Mengapa Dun Perak boleh, Parlimen tak boleh? – Mujahid

Usul undi percaya : Mengapa Dun Perak boleh, Parlimen tak boleh? – Mujahid

Hari ini DUN Perak telah melakukan undi percaya (vote of confidence) terhadap Menteri Besarnya dan keputusan tolak 48 berbanding terima 10 telah diputuskan. Ini bermakna DS MB atau dikenali sebagai Peja telah gagal mempertahankan kepercayaan terhadap kepimpinan beliau dan terpaksa melepaskan jawatannya.

Dari sudut tindakan, keputusan Speaker menerima usul tersebut bertepatan dengan kehendak demokrasi. Ini adalah kerana sidang kali ini adalah sidang belanjawan dan keperluan keabsahan kedudukan MB perlu mendahului segala agenda.

Lebih menarik untuk diperhatikan ialah 48 undi yang diperolehi adalah kombinasi ADUN dari Umno 24 dan solid 24 dari PH. PH terdiri daripada DAP, AMANAH dan PKR. Walaupun UMNO dan PH tidak ada pakatan politik tetapi keduanya berjaya menjatuhkan MB dari Perikatan Nasional yang dibentuk bersama UMNO.

UMNO tidak kekok untuk menerima sokongan DAP yang dicanang anti-Melayu dan anti-Islam untuk menukar MB PN yang melaungkan kerajaan Melayu Islamnya bersama PAS.

Apa yang berlaku di Perak membawa isyarat penting dinamika politik yang sedang bergolak di peringkat Persekutuan. ADUN UMNO di Perak telah membuktikan sokongan ADUN PH untuk mencapai sesuatu usul berkepentingan bersama bukan mustahil.

Jikalau kita panjangkan kes DUN Perak ke Parlimen, sememangnya tidak mustahil MP UMNO berganding undi dengan MP PH untuk menentukan nasib TSMY yang hingga kini gagal mengabsahkan kedudukannya.

Insiden undi di DUN Perak juga membuktikan PH bersikap terbuka dalam memastikan proses demokrasi berjalan di atas landasannya. Apakah MP UMNO boleh berbalas sikap terbukanya untuk selamatkan demokrasi secara majoriti di Parlimen Persekutuan pula?

Kita tunggu episod pergolakan seterusnya di Parlimen pula. Apa yang utama ialah kembali kepada prinsip demokrasi dan perundangan.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH
4hb Dis 2020

Sumber :

COMMENTS