Undang-undang anti lompat parti gagal dicabar 4 Adun Pulau Pinang

Undang-undang anti lompat parti gagal dicabar 4 Adun Pulau Pinang. Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, hari ini gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti di negeri itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menolak permohonan kebenaran yang difailkan empat ADUN berkenaan melalui prosiding yang dijalankan secara aplikasi Zoom.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan dalam prosiding rujukan sebelum ini sudah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berhak menggubal undang-undang untuk menentukan kelayakan ahlinya yang membentuk sebahagian daripada fungsi demokrasi berparlimen.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah menolak permohonan keempat-pemohon berkenaan tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Mereka ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang), yang memfailkan saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Undang-undang anti lompat parti gagal dicabar 4 Adun Pulau Pinang

Keempat-empat ADUN itu memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, peguam Datuk DP Naban, yang mewakili semua ADUN berkenaan, berkata DUN Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang antilompat parti dan ia melanggar kuasa berkaitan pemilihan dewan atau Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar menegaskan, DUN Pulau Pinang mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan antilompat parti di bawah perlembagaan negeri.

Pada 3 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan serta Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan, seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika selepas dipilih sebagai calon parti politik, meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau menyertai parti politik lain.

Pada 12 April lalu Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad, membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang, untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri terbabit.

Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan enakmen antilompat yang diluluskan oleh DUN Pulau Pinang pada 2012 menepati perlembagaan.

Mahkamah juga memutuskan Perkara 14A perlembagaan negeri juga tidak terbatal kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

BACA:

Menteri dedah sesuatu mengejutkan lokasi tanah runtuh

Ummi Nazeera diumum sertai Muafakat Nasional, suami akan halang jika…

Kes Altantuya : Keluarga menang saman