‘Uncle Mack’ yang disayangi pergi buat selamanya

‘Uncle Mack’ yang disayangi pergi buat selamanya

Ketika kontinjen Malaysia sedang gigih melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo, mereka dikejutkan dengan berita pemergian insan yang paling dekat di hati kebanyakan atlet negara, Macklin Amzah atau lebih dikenali sebagai Uncle Mack.

Macklin menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun di Hospital Serdang pukul 1.06 pagi tadi akibat pelbagai komplikasi tidak lama selepas beliau dan seluruh keluarganya dijangkiti Covid-19 sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi orang biasa, mungkin mereka tidak pernah mendengar nama Macklin, namun bagi sesiapa saja yang pernah bergelar atlet kebangsaan, bekas pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) ini adalah individu yang ‘wajib’ dikenali, terutama menjelang kejohanan bertaraf temasya seperti Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan SEA.

Pernah berkhidmat sebagai jurulatih jasmani Tentera Darat dan pegawai waran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bertugas di MSN sebagai instruktur kecergasan, Uncle Mac yang berasal dari Sabah akan bertindak sebagai komandan mengendalikan kebanyakan program waja diri serta bina negara kepada atlet negara.

Jeritan ‘baris sedia, jangan bergerak! Kalau gerak aku gigit telinga awak’, antara kata-kata Macklin yang tidak akan dilupai oleh atlet yang pernah menyertai program kendaliannya.

Orangnya kelihatan garang. Jeritan dan suaranya yang kuat boleh menggerunkan atlet yang baru memasuki kem kebangsaan kendalian MSN, namun apabila sudah mengenali Macklin, sikap ‘bapa-bapa’ atau ‘abang-abang’ yang dimilikinya membuatkan mereka mudah mesra.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan beberapa atlet serta bekas atlet kebangsaan seperti jaguh olahraga, Robani Hassan antara yang terawal mengucapkan takziah di atas pemergian Macklin.

Allahyarham Macklin akan dikebumikan pada pukul 1 tengah hari di Tanah Perkuburan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras hari ini.

Pengebumian diuruskan oleh Unit Amal Hospital Serdang dan hanya seorang wakil keluarga Arwah yang bukannya kontak rapat boleh bersama menguruskan jenazah.

Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/sukan/2021/05/perginya-uncle-mack-yang-disayangi/

COMMENTS