Tular TKM Sarawak hulur duit kepada penjaja tanpa pakai “mask”, ini jawapan pemimpin itu..

Tular TKM Sarawak hulur duit kepada penjaja tanpa pakai “mask”, ini jawapan pemimpin itu..

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan dilaporkan mengakui kesilapannya membuka pelitup muka semasa berada di tempat awam.

Awang Tengah berkata, dia terlupa untuk memakai pelitup mukanya kembali sebaik sahaja selesai membeli makanan.

Ia susulan klip video yang tular di media sosial menunjukkan dia mengagih-agihkan wang ketas RM50 kepada penjaja tepi jalan ketika mengadakan lawatan ke Matu, Sarawak, baru-baru ini.

Dalam video 25 saat itu, Awang Tengah dilihat menyerahkan wang kepada penjaja yang menjual makanan dan minuman dalam keadaan dia tidak memakai pelitup muka.

Menurut laporan Borneo Post, ekoran daripada itu Awang Tengah berkata, polis telah menghubunginya dan memaklumkan dia akan dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka.

“Gerai-gerai itu biasanya hanya dibuka pada hujung minggu. Saya pergi ke gerai itu dan membeli beberapa makanan dan minuman dan menanggalkan topeng muka sambil mengambil makanan.

“Saya memang tidak perasan (tidak memakai semula pelitup muka) sebab ketika itu memang tergesa-gesa selepas diberitahu oleh pegawai saya yang kami perlu bergerak segera.

“Saya akan membayar kompaun itu,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Tengah tidak mendedahkan jumlah kompaun perlu dibayarnya.

Mengulas tindakannya menghulurkan RM50 kepada setiap peniaga terbabit, Awang Tengah berkata, dia melakukannya kerana membeli makanan dan minuman yang dijual dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya menghulurkan wang kepada pemilik gerai dan meminta mereka membungkus apa-apa yang mereka jual dan pegawai saya kemudian akan mengambil barang berkenaan,” katanya.

Mengikut Ordinan Darurat yang dipinda bagi mengekang penularan Covid-19, denda maksimum bagi setiap individu yang melanggar peraturan yang ditetapkan dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini.

Ia berkuat kuasa mulai 11 Mac lalu.

Pemakaian pelitup muka di kebanyakan tempat awam adalah wajib sejak 1 Ogos tahun lalu.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/569990

COMMENTS