Tuduh KKM manipulasi data Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat – Menteri

Tuduh KKM manipulasi data Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat – Menteri

Orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan di media sosial kononnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sengaja memanipulasi data harian kes positif COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang membuat tuduhan demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

“Menguar-uarkan cerita tidak betul boleh diambil tindakan oleh polis. Buat berita palsu dan tidak benar adalah salah dan boleh diambil tindakan.

“Lagipun apa untungnya kepada mereka yang tiba-tiba bercakap dan buat ‘posting’ mengatakan nombor itu tak betul dan sengaja diadakan? Apa untungnya kepada yang buat berita itu?” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD), Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan sesetengah netizen yang menuduh KKM sengaja memanipulasi data harian kes positif COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak mahu memberi amaran, sebaliknya mengharapkan orang ramai dapat sama-sama membantu tugas KKM dan pihak berkuasa untuk menjaga kepentingan semua rakyat di negara ini.

Jelas beliau, tiada sebab untuk KKM memanipulasi data harian kes positif COVID-19 kerana ia diperoleh melalui sistem maklumat dan kesihatan awam daripada setiap negeri pada jam 12 tengah hari setiap hari.

“Jumlah keseluruhannya barulah diumumkan KKM. Kalau dari segi laporan, penggunaan hospital semakin banyak dan penggunaan katil semakin bertambah. Maknanya ramai yang positif,” kata beliau.

Menurutnya, ia menunjukkan kes positif COVID-19 itu benar-benar berlaku dan tiada alasan KKM mahu memanipulasikan nombor.

“Kalau boleh kita nak kosong, lagi baik dan senang kerja kita, selesai. Tapi kes meningkat semula dan ini tak berlaku di Malaysia saja, tapi di seluruh dunia,” ujarnya.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kkm-manipulasi-data-covid-ingat-tuduhan-sedemikian-boleh-berdepan-tindakan-294135

COMMENTS