Tolonglah !!! Jangan sampai frontliners rebah – Noor Hisham

Tolonglah !!! Jangan sampai frontliners rebah – Noor Hisham

“Sekiranya kami (petugas barisan hadapan) rebah, anda dan ahli keluarga mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya.

Itulah peringatan yang diberikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melihatkan situasi orang ramai yang seolah-olah enggan duduk di rumah pada hujung minggu ini dalam keadaan jangkitan Covid-19 kini melepasi 8,000 kes.

Beliau berkata, keadaan sistem kesihatan negara akan lumpuh sekiranya peningkatan kes Covid-19 terus tidak terkawal.

“Lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi keadaan pesakit tenat dan kritikal tetapi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah penuh semuanya.

“Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh jika kes tidak terkawal. Petugas barisan hadapan sudah penat, tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Noor Hisham terus merayu orang ramai supaya duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting.

Beliau turut berkongsi beberapa gambar di lokasi berbeza mengenai keadaan lalu lintas yang sesak dipenuhi kenderaan.

Gambar-gambar keadaan lalu lintas yang dikongsikan Noor Hisham di Facebooknya hari ini.
“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini? Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.

“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan kerajaan mengumumkan pelaksanaan ‘total lockdown’ selama 14 hari dari 1 Jun hingga 14 Jun ini

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/05/29/jangan-sampai-frontliners-rebah-noor-hisham/

COMMENTS