Tips kahwin bajet, namun ‘perfect’ dimusim Covid

Tips kahwin bajet, namun ‘perfect’ dimusim Covid

Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 ini, soal kewangan perlu diurus dengan bijak termasuk urusan majlis perkahwinan supaya sempurna walaupun menggunakan perbelanjaan yang murah.

Itu yang dilakukan pasangan muda, Nurin Amira Nor Hisam, 23, dan Muhamad Nazliwadi Abdullah Sani, 24 dalam majlis perkahwinan yang berlangsung di Bandar Baru Kulai, di sini, pada 17 Mac lalu.

Menurut Nurin Amira, dengan bajet RM6,000 semua persiapan direncanakan sendiri termasuk persalinan, hantaran, cenderahati tetamu, jamuan makan, pelamin, solekan dan penginapan bagi keluarga suami.

“Baju nikah saya dan suami, warna biru lembut dan baju majlis sanding warna merah hati dibeli secara dalam talian harga RM423.

“Pelamin harga RM280 siap bunga tangan, RM300 untuk solek, inai RM165 dan jamuan makan tetamu secara katering RM2,320 serta kek pengantin berharga RM97. Bagi cenderahati tetamu saya buat 150 dengan bajet RM250 iaitu air mineral dan telur pindang.

“Saya tidak sangka perkahwinan bajet kami menjadi tular. Niat saya hanya mahu berkongsi kepada bakal pengantin supaya berjimat dengan keadaan sekarang ini,” katanya.

Nurin Amira yang juga anak tunggal perempuan dari tiga beradik berkata, ramai yang bertanya mengapa saya tidak menyewa baju pengantin.

Katanya, disebabkan tugas hakiki sebagai anggota keselamatan, dia dan suami tidak mempunyai masa untuk mencuba pakaian di butik pengantin.

“Untuk hantaran, saya memilih meletakkan perkakasan elektrik seperti dapur gas, pemanas air, seterika, pengisar makanan, set pengukus, pembesar suara, mikrofon, set pinggan dan teko.

“Saya jarang pakai aksesori seperti kasut tumit, bag tangan dan sebagainya. Jadi saya rasa lebih memerlukan perkakasan itu daripada aksesori diri. Lagi pun perkakasan lebih tahan lama dan bermanfaat dalam kehidupan harian.

“Malah, set pembesar suara dan mikrofon hantaran itu digunakan untuk memeriahkan majlis perkahwinan kami.

“Semua persiapan dibuat sendiri oleh saya dan ahli keluarga. Kos kad kahwin memang jimat sebab saya ada pengalaman sebagai pereka grafik,” katanya yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Nurin Amira berkata, keluarganya tidak menghalang malah gembira dengan apa yang dilakukan kerana musim majlis gah dan mewah sudah berlalu.

“Keadaan sekarang ini, tetamu pun dihadkan 250 saja. Saya dan suami bernikah di Pejabat Kadi daerah Kulai. Jadi tidak perlu bermewah asalkan majlis berjalan lancar dan sempurna.

“Ibu ayah dan keluarga menyokong, malah hantaran itu kalau ikutkan ibu mahu letak lesung batu dan cadar saja.

“Saya harap perkongsian ini dapat memberi ilham kepada bakal pengantin di luar sana untuk lebih berjimat,” katanya.

Berita penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/687679/kahwin-bajet-tapi-sempurna

COMMENTS