Tinjauan dapati rakyat mahu kerajaan segerakan pelaksanaan PKP penuh

Tinjauan dapati rakyat mahu kerajaan segerakan pelaksanaan PKP penuh

Rata-rata rakyat mahukan kerajaan supaya menyegerakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor susulan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Keperluan mengadakan PKP penuh di Selangor berikutan kebimbangan dengan graf peningkatan kes COVID-19 yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan 1.14 setakat semalam.

Daripada 10 resonden yang ditemui di sekitar ibu negara, kesemua mereka bersetuju agar kerajaan melaksanakan PKP penuh dengan kadar segera.

Seorang perunding syarikat, Kuganesan Kathiresan, 33, berkata, meskipun ekonomi negara dijangka terjejas, namun nyawa rakyat perlu diutamakan.

“Saya setuju sepenuhnya, PKP seperti 1.0 dilaksanakan di Selangor. Kita tengok nyawa tengah ‘terbang’. Bila kerajaan boleh melaksanakan PKP ketika negara merekodkan 300 kes apatah lagi sekarang? Kes dah mencecah lebih 6,000 semalam,” katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.

Seorang lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Atiqah Mohd Noor, 25, yang juga senada dengan Kuganesan berkata, kerajaan wajar melaksanakan PKP sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan bagi melandaikan keluk COVID-19.

“Soal ekonomi perlu diketepikan dulu, yang penting adalah nyawa rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun, seorang eksekutif bank, Sharul Nur Ain Basha, 36, berkata, pelaksanaan PKP perlu selari dengan bantuan terutamanya kepada golongan sasaran yang terkesan.

“Setuju (diadakan PKP penuh), tetapi kerajaan perlu bersedia dari segi bantuan kepada kumpulan sasaran dan melakukan pemeriksaan secara berskala besar bagi mengenal pasti mereka yang mungkin dijangkiti.

“PKP tanpa bantuan hanya akan menyusahkan golongan yang terkesan,” tambahnya.

Sementara itu, penasihat kewangan, YY Tan, 38, berpendapat, pelaksanaan PKP di Selangir adalah langkah terbaik dan terakhir kerajaan untuk melandaikan keluk COVID-19 serta menyelamatkan rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya membuat pertimbangan menguatkuasakan PKP secara menyeluruh di Selangor jika jangkitan harian COVID-19 di negeri itu tidak menunjukkan penurunan.

Namun demikian, Pengerusi Selangor Task Force COVID-19, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan PKP secara menyeluruh itu perlu dipertimbangkan secara teliti kerana tindakan itu bakal memberi kesan dan tekanan terhadap banyak pihak di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula dilaporkan berkata, negeri itu tidak menolak pelaksanaan PKP penuh, sebaliknya, hanya berpandangan ia haruslah berlaku dengan empati iaitu memikirkan kesan terhadap rakyat di negeri terbabit.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rakyat-mahu-kerajaan-segerakan-pkp-penuh-di-selangor-298943

COMMENTS