Tiga nama sedang dipertimbang Muhyiddin untuk jawatan TPM

Tiga nama sedang dipertimbang Muhyiddin untuk jawatan TPM

Perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement) yang diperlukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan Belanjawan Negara 2021 lulus, bukan hadir percuma, menurut beberapa pemerhati politik.
Mereka berkata, ketika DAP dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) lebih terbuka dalam menyuarakan permintaan mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO pula mahu peruntukan yang lebih besar dalam struktur kuasa di Putrajaya.

Beberapa media melaporkan, Muhyiddin kini sedang mempertimbangkan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu, sebagai timbal balas terhadap sokongan mereka untuk Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, dan kestabilan politik negara.

Siapa calon terbaik antara tiga?
Menurut akhbar Sin Chew, tiga pemimpin UMNO yang disebut-sebut dalam pertimbangan itu ialah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Untuk rekod, Ismail Sabri yang kini memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan adalah Ahli Parlimen Bera, manakala Hishammuddin yang juga Menteri Luar adalah Ahli Parlimen Sembrong.

Mohamad pula perlu diberikan tiket Senator jika dipilih menyertai barisan Kabinet itu sebagai TPM baharu, memandangkan beliau tidak bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

“Memang ketiga-tiga nama tokoh ini naik. Tetapi Datuk Seri Ismail Sabri yang paling memahami sentimen antara dua pihak, iaitu Perikatan Nasional dan UMNO dan Tan Sri nampak lebih selesa dengan beliau (Ismail Sabri).

“Beliau yang sering menjadi pengantara antara Perdana Menteri dan UMNO, dan sedikit sebanyak kurangkan pertelagahan antara dua kumpulan ini, berbanding Tok Mat (Mohamad) dan Datuk Hisham (Hishammuddin),” kata sumber yang rapat dengan kepimpinan UMNO kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Jawatan TPM milik UMNO?

Media difahamkan Muhyiddin telah mengadakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ibu negara semalam, bagi membincangkan situasi terkini politik negara, termasuk kemungkinan untuk memberi jawatan TPM kepada UMNO.

Antara yang hadir dalam perjumpaan itu ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional Datuk Seri Azmin Ali (Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri), dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohd Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri).

Pada 25 Oktober lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini, seperti mana yang dipohon Muhyiddin dan Jemaah Kabinet.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda sebaliknya mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Kata Ahmad Fadil lagi, Seri Paduka Baginda turut menitahkan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Konsep ‘perjanjian keyakinan dan pembekalan’

Rentetan peringatan dan saranan Tuanku itu, pengasas bersama MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar) berkata Kerajaan disaran untuk menggunapakai konsep ‘perjanjian keyakinan dan pembekalan’ dengan parti pembangkang sebagai langkah memastikan Dewan Rakyat dapat meluluskan Belanjawan Negara 2021 itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ia lebih efektif berbanding langkah mengusahakan pengisytiharan darurat seperti mana yang dikhabarkan sebelum ini.

Untuk rekod, perjanjian keyakinan dan pembekalan, merupakan konsep Westminster (sistem berparlimen Britain) yang digunapakai di beberapa negara Komanwel, bagi memastikan Kerajaan sedia ada dapat mengekalkan sokongan di Dewan Rakyat.

Ia membolehkan Ahli Parlimen mana-mana parti atau Ahli Parlimen Bebas untuk menyokong undi percaya terhadap kerajaan sedia ada, dan usul berkaitan belanjawan.

Sementara itu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO, dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn pada 26 Oktober lepas, memutuskan akan terus mendukung kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Selain kekal dengan pendirian tiada kerjasama PKR dan DAP, Ahmad Zahid berkata dalam satu kenyataan berkata, UMNO juga menggesa penambahbaikan prinsip kerjasama yang berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik..

Undian belanjawan, satu ujian legitimasi terhadap Kerajaan

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen berkata, parti pembangkang tidak sewenang-wenangnya akan memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, 6 November ini.

“Undi terhadap Belanjawan adalah satu-satunya peluang kepada pembangkang untuk menguji legitimasi Kerajaan ketika ini. Kami tidak akan terus menyerahkan undi tanpa diberikan apa yang kami kehendaki, khususnya berkenaan agenda reformasi negara.

“Selain dibenarkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, kami juga menggesa agar Dewan Rakyat meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen pada sesi Dewan Rakyat Mac 2021, bagi memastikan Parlimen bebas daripada kawalan Eksekutif,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/jawatan-timbalan-perdana-menteri-untuk-umno-265659

COMMENTS