Tiada gunanya jadi PM kalau asyik berpolitik – Muhyiddin

Tiada gunanya jadi PM kalau asyik berpolitik – Muhyiddin

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, tidak guna berpolitik jika ia tidak memberi faedah kepada kehidupan rakyat, terutama ketika menularnya pandemik Covid-19.

Katanya, apakah tujuan berbahas mengenai politik sedangkan rakyat, terutama yang tinggal di kampung, semakin terhimpit berikutan wabak COVID-19.

“Kalau sebagai perdana menteri hanya nak jaga kedudukan, nak berpolitik sepanjang masa, tiada gunanya memegang jawatan tertinggi kerajaan.

“Rakyat mengadu susah, makan tak cukup, gaji tak ada, dibuang kerja, berniaga tak laku, orang tak datang beli barang. Inilah masalah kita sekarang, bukan berpolitik yang tidak habis-habis.

“Sebab itu saya amat bersetuju dengan saranan Yang di- Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya kita lupakan politik dan tumpukan untuk terus bela dan bantu rakyat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan ahli Parlimen Pagoh dengan pemimpin masyarakat tempatan, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau tidak mengulas mengenai isu politik sejak menjawat jawatan berkenaan bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada isu membela kebajikan dan membantu rakyat berdepan wabak Covid-19.

“Saya sejak jadi perdana menteri, saya memang tidak mahu cakap soal politik, jika saya cakap soal politik rakyat akan marah pada saya.

“Rakyat sibuk dengan hal Covid-19 sehingga ada yang berkata, ‘kami susah, dia duduk sibuk cakap soal politik tak habis-habi’s.

“Siapa nak jadi perdana menterilah, siapa nak jadi timbalan perdana menterilah, siapa nak jadi ketua bahagian.

“Masyarakat hari ini sudah meluat. Sebab itu saya elak buat pelbagai kenyataan politik, bukan saya tidak tahu, saya sudah hampir 40 tahun dalam politik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan memulakan pembinaannya tidak lama lagi.

“HSR KL ke Singapura akan bernilai lebih RM50 bilion dan jadual pembinaan dijangka dalam tempoh 7 tahun dan ia mula (dibina) tidak lama lagi dan siap pada tahun 2029. Satu daripada hentiannya ada di Pagoh.

“Zon ekonomi Pagoh seluas 4,000 ekar pula akan dibangunkan oleh Sime Darby Properties dan seluruhnya akan dijadikan zon ekonomi bebas dan dalam (zon) itu akan ada kemudahan dari segi cukai.

“Saya juga sedang cari jalan untuk banyak syarikat gergasi besar luar negara datang ke Pagoh. Kalau ini dapat dilakukan, peluang pekerjaan, perniagaan dan ekonomi di Pagoh akan lebih terjamin,” katanya.

Tambahnya, beliau juga sudah menemui beberapa syarikat besar, antaranya berkaitan aktiviti pemasangan kereta nasional bagi membawa industri pemasangan komponen kereta nasional ke Pagoh.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/30/tidak-guna-berpolitik-kalau-tak-beri-faedah-kepada-rakyat-kata-muhyiddin/

COMMENTS