Terkini!!! Seniwati Sharifah Aminah pergi buat selamanya

Terkini!!! Seniwati Sharifah Aminah pergi buat selamanya

Seniwati terkenal era 1960-an, Sharifah Aminah Syed Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Hospital Kajang, pukul 6.40 pagi tadi.

Anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali berkata, ibunya yang terlantar dalam keadaan koma separuh sedar sejak tiga tahun lalu dibawa ke hospital selepas mengalami sesak nafas sekitar pukul 8 malam tadi.

“Ketika awal Syawal, keadaan emak macam biasa. Kalau dipanggil dia macam selalu, pandang atau mengelipkan mata. Cuma kami pun tak tahu dia sedar atau tidak dengan situasi di sekelilingnya.

“Minum susu pun macam selalu. Namun beberapa hari ini emak seakan-akan bagi tanda nak pergi tinggalkan kami. Ketika itu saya tak mahu melayan sangat perasaan.

“Sampailah malam tadi emak tiba-tiba sesak nafas. Terus saya panggil ambulans. Apa pun kami reda. Doakan emak kami ditempatkan dalam mereka yang beramal soleh,” katanya kepada Kosmo! Online.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak dan tiga cucu.

Terdahulu, pelakon dan penerbit itu terlantar separuh koma selepas serangan angin ahmar dan pendarahan pada bahagian otak sekitar 2019.

Ketika hayatnya, Allahyarham kerap bergandingan dengan nama besar dalam arena perfileman tempatan termasuk bersama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin menerusi filem Jefri Zain.

Antara naskah lain lakonan Sharifah Aminah yang meninggalkan impak ialah Perjanjian Syaitan arahan S Sudarmaji selain Mama Oh Mama, Ceritaku Ceritamu dan Wira Angkasa.

Sementara itu, Wan Monaliza memaklumkan jenazah ibunya masih berada di hospital sementara menunggu prosedur ujian calitan Covid-19 sebelum urusan pengebumian disempurnakan.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Kantan, Kajang, esok pagi, iaitu sebaik segala urusan dapat diselesaikan

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/05/24/seniwati-sharifah-aminah-meninggal-dunia/

COMMENTS