Terkini !!! Pemerkasa PLUS: RM1 bilion peruntukan tambahan untuk KKM

Terkini !!! Pemerkasa PLUS: RM1 bilion peruntukan tambahan untuk KKM

Kerajaan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM1 bilion lagi bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tambahan peruntukan tersebut adalah komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh dan beroperasi dengan berkesan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM450 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan COVID-19 di hospital seliaan Kementerian
Kesihatan (KKM) dan juga di Hospital Pengajar Universiti Awam.

Ia termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta melalui hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk RM200 juta yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan pada 22 Mei baru-baru ini.

“Kedua, memperuntukkan RM550 juta untuk menampung keperluan perbelanjaan berkaitan COVID-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan COVID termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak.

“Ini juga termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 atau PKRC di MAEPS dan di peringkat negeri.

“Ketiga, melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022. Sebagai tambahan, kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak,” kata Perdana Menteri, di sini pada Isnin malam.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) sebanyak RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion ringgit.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemerkasa-plus-rm1-bilion-peruntukan-tambahan-untuk-kkm-300838

COMMENTS