Terkini!!! Bung Moktar sah jadi Presiden SAFA

Terkini!!! Bung Moktar sah jadi Presiden SAFA

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini sah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang baharu.

Beliau yang memangku jawatan itu sejak September lalu menang tanpa bertanding pada Kongres Luar Biasa SAFA yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dicalonkan oleh semua ahli gabungan SAFA yang terdiri daripada persatuan bola sepak daerah di seluruh negeri.

Penyandang jawatan berkenaan, Datuk Peter Anthony yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) meletak jawatan pada September lalu susulan kekalahan WARISAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Turut dimenangi tanpa bertanding ialah dua jawatan Naib Presiden SAFA, masing-masing oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Suhaimi Nasir dan Presiden Persatuan Rungus Sabah (SAMORA), Datuk Jelani Hamdan.

Bung Moktar dalam ucapannya berkata, beliau amat menghargai keyakinan dan kepercayaan yang diberikan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan ahli gabungan SAFA kepada beliau untuk memimpin badan sukan berkenaan.

Katanya, dengan kepercayaan yang diberikan, beliau akan berusaha lebih gigih bagi memastikan SAFA terus maju dan mencapai sasaran membangunkan bola sepak Sabah di peringkat akar umbi dan kebangsaan.

“Walaupun agak berat tetapi tiada yang mustahil dalam sukan ini. Apa yang penting adalah komitmen semua pihak dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di Sabah.

“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengembalikan kepercayaan yang diberikan rakyat dengan meningkatkan mutu bola sepak negeri,” katanya.

Bung Moktar juga mengakui SAFA terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan kesulitan berikutan penularan pandemik COVID-19 dalam usaha menaikkan semula imej bola sepak negeri.

Jelasnya, situasi itu memerlukan sokongan berterusan semua pihak agar SAFA dapat meneruskan misinya membangunkan bola sepak Sabah ke tahap yang boleh dibanggakan walaupun dalam keadaan terbatas akibat penularan COVID-19.

“Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Mudah-mudahan sekiranya pandemik COVID-19 ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa dan seterusnya melakukan yang terbaik untuk bola sepak Sabah,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/824879/bung-moktar-sah-presiden-safa

COMMENTS