Tembak anggota PGA: Lima warga tempatan direman

Tembak anggota PGA: Lima warga tempatan direman

Lima lagi individu warga tempatan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, bulan lalu.

Perintah reman terhadap kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 65 tahun itu, dikeluarkan Majistret Kamaliza Md Zain di Mahkamah Kangar hari ini.

Ia dibuat mengikut Seksyen 302 serta 307 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan membunuh dan cubaaan membunuh.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad mengesahkan pihaknya menahan kelima-lima individu berkenaan di beberapa lokasi sekitar negeri Perlis dan Kedah.

Jelasnya, dua individu ditahan Padang Besar manakala tiga lagi individu ditahan di beberapa lokasi berasingan iaitu di Kuala Perlis, Kuala Sanglang dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurut beliau, kesemua individu yang telah ditahan pihak polis itu dipercayai terlibat secara aktif dengan aktiviti penyeludupan di negeri Perlis dan Kedah.

Dengan lima penahanan baru berkenaan, jumlah keseluruhan individu yang ditangkap setakat ini adalah seramai 46 lelaki termasuk empat warga Thailand dan seorang ketua kumpulan penyeludupan.

Ia selepas pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menjalankan operasi besar-besaran bermula 24 Nov lalu susulan kejadian tembakan di Padang Besar yang mengorbankan seorang anggota PGA yang sedang bertugas.

Dalam kejadian itu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54 tahun, anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, terkorban akibat ditembak kumpulan penyeludup.

Rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39 tahun, pula mengalami kecederaan parah selepas terkena tiga tembakan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tembak-anggota-pga-lima-lagi-warga-tempatan-direman-5-hari-271693

COMMENTS