Tak sangka permintaan mahu tidur atas katil anak merupakan permintaan terakhir ayah…

Tak sangka permintaan mahu tidur atas katil anak merupakan permintaan terakhir ayah…

“Ayah hanya sempat tinggal di rumah saya tiga hari dan dia kelihatan gembira,” kata Muhammad Hafiz Mohd Azmi, 21, yang kehilangan bapanya Mohd Azmi Yusoff, 60, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Pantai Sura Jeti, pagi ini.

Dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada kira-kira jam 8.40 pagi, Mohd Azmi dari Jalan Berek Kastam maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan muka.

Muhammad Hafiz berkata, ayahnya sebelum ini bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Dungun dan selepas bersara arwah menjual air tebu di tepi jalan di Jalan Melati.

“Abang tinggal bersama ibu saudara di Kuala Terengganu dan adik masih belajar di sebuah Universiti di Kuantan manakala saya membantu rakan menjual ayam goreng.

“Ayah sebelum ini tinggal berasingan dan selepas saya dapat gaji lebih, saya menyewa sebuah rumah dan mengajak arwah ayah tinggal bersama, “katanya.

Katanya, selama tiga hari berpindah ke rumah sewa, ayah kelihatan sangat gembira kerana sebelum ini tinggal berasingan dengan anak-anaknya.

“Malam tadi dia banyak memberi nasihat berhubung masa depan saya dan adik beradik lain dan minta mahu tidur di katil yang saya.

“Saya sempat selimutkan dia sebelum tidur di bawah dan pagi ini ayah menghulurkan RM10 dan meminta saya mencuci kesemua pakaiannya termasuk yang sudah bersih di dobi layan diri,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, ketika itu dia sudah merasa pelik dengan sikap ayahnya itu sebelum dimaklumkan berhubung kemalangan itu.

Tambah Mohd Azmi, kesedihan selepas pemergian ibu dan abang belum lagi terubat kini perlu menerima hakikat kehilangan ayah pula.

“Kami empat beradik dan ibu, Rohani Ismail meninggal akibat kanser otak pada 2015. Pada 2019 abang, Muhammad Amirul Alif, 25 pula meninggal akibat kemalangan di Johor.

“Kini hanya kami bertiga, abang iaitu Izzat Irfan, 22, dan adik iaitu Amira Hafiza, 19, sekali lagi menerima berita sedih kehilangan ayah tersayang,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.

Mohd Azmi maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya cuba masuk ke simpang kanan sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda dari belakang.

Kereta mangsa dikatakan masuk ke lorong kanan sebelum dirempuh kereta Kelisa di bahagian kiri.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

“Pemandu Kelisa, Kamarudin Hasan, 62, dan pemandu kereta pacuan empat roda, Mohamad Zahir Shafie, 52, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Berita penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/688222/sempat-tinggal-3-hari-bersama-anak-sebelum-maut

COMMENTS