Tak Kuarantin : Rakyat kena penjara 14 hari, Menteri tidak didakwa

Tak Kuarantin : Rakyat kena penjara 14 hari, Menteri tidak didakwa

Keputusan kerajaan hari ini untuk tidak mengambil tindakan lanjut (No Further Action) terhadap YB Datuk Khairuddin Aman Razali, Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi yang telah melanggar kuarantin wajib Covid-19 adalah amat dikesali.

Peluang untuk membuktikan bahawa Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan prihatin kepada rakyat hancur sama sekali, sebaliknya mengesahkan lagi pandangan yang semakin popular iaitu PN adalah kerajaan dua darjat.

Beberapa kes yang melibatkan rakyat biasa yang terkhilaf melanggar arahan kuarantin telah dijatuhkan hukuman denda dan penjara manakala Menteri PAS dibebaskan begitu sahaja.

Sebagai contoh, baru 2 hari lepas seorang juruteknik swasta telah dipenjara 14 hari dan didenda sebanyak RM1,000 selepas gagal mematuhi arahan menjalani kuarantin.

Tindakan yang tidak adil ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh PN dan malangnya dengan kelemahan integriti dan kerakusan pangkat, lebih banyak ketidakadilan yang akan berlaku selepas ini.

Bukan sekadar itu, Kerajaan PN hari ini telahpun mensia-siakan pengorbanan dan usaha frontliners serta rakyat biasa melawan Covid-19.

Rakyat terpaksa akur dengan arahan yang sering bertukar hampir sepanjang masa kerana adanya ugutan dan hukuman terpilih, namun hormat mereka kepada pemerintah semakin menghilang.

Ketika seluruh negara berhadapan dengan kesengsaraan ekonomi, ramai yang hilang pekerjaan, ada yang hilang tempat tinggal, PN sanggup lakukan apa sahaja demi kekal berkuasa untuk kepentingan peribadi.

Ini amat merisaukan jika cengkaman ini dibiarkan, maka akan terbentuklah pemerintah yang zalim dek kerana amalan hukum bukan berdasarkan undang-undang saksama (rule of law) tetapi mengikut selera kedudukan dan pangkat, layanan media terpilih dan pelbagai lagi, sedangkan nasib rakyat kebanyakkan tidak dihiraukan.

21.10.2020

AKMAL NASIR

Ahli Parlimen Johor Bahru

Ketua AMK Malaysia.

Sumber :

TINDAKAN DUA DARJAT TERHADAP MENTERI CEMARKAN PENGORBANAN RAKYAT MELAWAN COVID19Keputusan kerajaan hari ini untuk…

Posted by Akmal Nasir on Wednesday, October 21, 2020

COMMENTS