Tajuddin ulangi pendirian BN akan sokong belanjawan

Tajuddin ulangi pendirian BN akan sokong belanjawan

Sokongan bersyarat yang diberikan oleh BN terhadap Belanjawan 2021 menimbulkan tanda tanya mengenai sokongan gabungan itu agar belanjawan berkenaan dapat diluluskan.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata Umno yang juga sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada masalah untuk memberikan sokongan mereka.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Umno juga telah membuat ketetapan berhubung perkara itu dan tiada sebab untuk menolak Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu.

“Secara peribadi saya berpuas hati dengan Belanjawan 2021 yang dilihat membantu rakyat di setiap lapisan.

“Walaupun kita sebahagian dari kerajaan, kita juga mempunyai peranan untuk melakukan ‘semak dan imbang’.

“Sebagai ‘backbenchers’ saya gembira kerana peruntukan diberikan adalah besar dan ia meliputi seluruh rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, pusingan pertama pengundian Belanjawan 2021 akan berlangsung pada 17 Nov.

Kemampuan kerajaan PN untuk meluluskan belanjawan masih menjadi persoalan apabila Perdana Menteri Muhyiddin yassin dikatakan memperolehi majoriti tipis Dewan Rakyat.

Kelmarin, ketika membahaskan Belanjawan 2021, bekas perdana menteri Najib Razak berkata, sokongan BN terhadap belanjawan kali ini adalah sokongan bersyarat.

Ini kerana Umno masih menuntut supaya kerajaan melanjutkan moratorium selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.

Kenyataan Najib itu dikritik Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan ‘sokongan bersyarat itu ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

Dia juga berpendapat, amat janggal untuk ahli parlimen Pekan mengenakan sokongan bersyarat seperti itu.

“Sedikit berbeza dengan ahli parlimen lain, saya rasa meletakkan syarat sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) Akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021 ini,” katanya ketika berbahas semalam.

Pada 4 Nov lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan yang parti itu menyokong tidak berbelah bagi Belanjawan 2021.

Seorang lagi ahli Parlimen BN yang enggan namanya disiarkan berkata, keputusan itu dibuat BN secara konsesus dan syarat itu juga telah dimaklumkan pucuk pimpinannya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Sebenarnya tidak menjadi isu lagi, BN telah menyatakan sokongan kepada Belanjawan 2021 dengan tidak berbelah bagi, tapi mengemukakan pertimbangan supaya perdana menteri melanjutkan moratorium dan membenarkan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jadi, apa yang dibangkitkan Najib dalam persidangan Parlimen bukan lagi isu. Bagi saya ia selaras dengan keputusan yang telah dibuat,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu seorang lagi Ahli Parlimen BN ketika dihubungi berkata ucapan Najib pada sesi perbahasan itu kelmarin bukanlah satu isu.

“Saya secara peribadi menyokong apa yang dibangkitkan oleh Najib kerana itu juga ketetapan BN.

“Jadi, apa yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri itu bukan isu,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/550696

COMMENTS