Status Sabah dan sarawak sebagai ‘Wilayah’ hanya gimik politik, pensyarah ini huraikan mengapa..

Status Sabah dan sarawak sebagai ‘Wilayah’ hanya gimik politik, pensyarah ini huraikan mengapa..

Apabila kerajaan pusat mengumumkan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah ‘wilayah’, pemimpin Sabah dan Sarawak gembira. Mereka berkata, kini Sabah dan Sarawak adalah setaraf dengan wilayah Semenanjung.

Betulkah tanggapan begini?

Bagi saya kegembiraan ini adalah sekadar ‘gimik’ dan retorik politik sahaja. Ia tidak mengubahpun status sebenar Sabah dan Sarawak kerana tidak mempunyai pengiktirafan perlembagaan.

Bagi mempunyai pengkirafan perlembagaan, Artikel 1(2) yang menyebut “Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu” perlu dipinda terlebih dahulu.

Sebelum itu, definisi “Persekutuan” dalam Artikel 160(2) yang menyebut: “Persekutuan bermakna Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Malaya 1957” juga perlu dipinda kepada “Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).”

Tanpa pindaan kepada dua artikel ini, pengumuman kerajaan pusat terhadap status wilayah Sabah Sarawak tidak mempunyai makna yang signifikan kepada semakan semula status MA63.

Selesaikah Masalah Sabah dan Sarawak dengan Pengumuman Ini?

Pengumuman ini tetap tidak dapat menyelesaikan kegelisahan rakyat. Masalah status dua negeri ini sebagai wilayah bukanlah faktor utama kegelisahan rakyat. Faktor utamanya adalah rakyat tidak berpuas hati dalam hal berikut:

i. Pelaksanaan hak-hak Sabah dan Sarawak sepertimana termaktub dalam Perkara 20/18.

ii. Pengagihan hasil minyak dan gas yang tidak selaras dengan semangat MA63.

iii. Kuasa autonomi negeri berkaitan dengan hak Borneonisasi, pembangunan infrastruktur dan industri serta pembangunan pendidikan dan sumber manusia.

iv. Pendatang tanpa izin.

v. Kuasa kewangan dan percukaian.

vi. Isu pelantar benua dan perairan wilayah.

Bagaimana Menyelesaikan Ketidakpuasan Hati Rakyat Sabah dan Sarawak?

Jika itulah faktor ketidakpuasan hati rakyat Sabah dan Sarawak, tumpukan sahaja kepada cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Tidak perlu mensensasikan sentimen rakyat tentang MA63 kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada keutuhan persekutuan. Caranya sederhana, ambil langkah berikut:

i. Laksanakan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perkara 20/18 dan penuhi hak-hak autonomi negeri terbabit.

ii. Runding royalti petroleum dan hasil bumi kedua-dua negeri ini sesuai dengan semangat MA63.

iii. Atasi masalah pertindihan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan pusat.

iv. Bangunkan Sabah dan Sarawak supaya setaraf dengan kemajuan Semenanjung.

Pemimpin politik pusat dan negeri perlu jelas dan tegas dalam menyelesaikan kemelut ini, bukan sekadar bercakap mengenainya sahaja setiap kali mahu mendapat sokongan rakyat.

Kenapa pemimpin politik perlu jelas dan tegas?

Isu status Sabah dan Sarawak ini adalah isu yang sangat sensitif. Isu ini boleh menyatukan dan memecah belahkan kita. Isu ini jika tidak diselesaikan dengan betul boleh menjadikan kita sebuah persekutuan longgar yang berbentuk sebuah konfederasi. Paling menakutkan lagi ialah munculnya kumpulan anti federal yang menuntut pemisahan.

Sabah dan Sarawak jika mahu menuntut haknya sepertimana termaktub dalam MA63, teruskan selagi mengikut garis undang-undang dan perlembagaan. Kerajaan pusat jika mahu menyemak semula MA63 ini seperti tuntutan Sabah dan Sarawak teruskan, tetapi janganlah sampai keutuhan persekutuan Malaysia ‘digadaikan’ hanya kerana tuntutan dan kepentingan politik.

Dalam apapun keputusan seterusnya, kekalkan Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan. Kecintaan pada negara perlu diutamakan. Berjiwa besarlah!

Sumber:

COMMENTS