Status 4 Ahli Parlimen Bersatu Sabah bakal ditentukan Speaker

Status 4 Ahli Parlimen Bersatu Sabah bakal ditentukan Speaker. Keputusan muktamad berhubung status empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang mengumumkan keluar parti bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun berkata, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi pandangan daripada Jabatan Peguam Negara dan Peguam Besar Sabah mengenai situasi yang berlaku.

“Saya tunggu laporan rasmi pandangan daripada Jabatan Peguam Negara dan AG (Peguam Besar) Sabah sebab undang-undangnya sedikit berbeza.

“Kedua, dalam perkara 49A (Perlembagaan Persekutuan), keputusan muktamad adalah Speaker, (yang mana keputusannya) dalam masa 21 hari selepas notis diberikan kepada beliau.

“Tapi, dalam pindaan Perlembagaan itu (berkaitan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau Akta A1663, diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian.

Status 4 Ahli Parlimen Bersatu Sabah bakal ditentukan Speaker

“Ia di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 bertemakan ‘Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind’ di sini pada Isnin.

Pada Sabtu lalu, pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bekas Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah, dan demi kepentingan negeri, perpaduan selain memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai nasib empat ahli Parlimen Bersatu Sabah iaitu Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).

Kesemua mereka bertanding sebagai calon GRS pada PRU15 dan bukannya calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

Bagaimanapun, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya pada Ahad berkata, kedudukan empat ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU15 akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

BACA:

Guru dipecat kerana tak hormat pelajar sedang solat

Annuar Musa dedah terima pelawaan bertalu-talu dari Pas

Lapan bulan baru tahu dirinya hamil