Sidang Dun Perak berlangsung esok, pendirian Umno jadi penentu kerajaan negeri

Sidang Dun Perak berlangsung esok, pendirian Umno jadi penentu kerajaan negeri

Pembangkang tidak akan memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan berlangsung esok walaupun sebelum ini membantah pelantikan Mohammad Zahir Abdul Khalid sebagai Yang di-Pertua DUN.

Ketua Pembangkang DUN Perak Abdul Aziz Bari berkata, pembangkang akur dengan proses undang-undang yang berlangsung termasuk rayuan difailkan di mahkamah.

“Kita akur Dewan perlu berfungsi sebagai platform suara rakyat dan tak mahu ia disekat, kami juga tak mahu mengambil sikap boikot dan sebagainya.

“Kita tak mengambil (bahagian) dalam politiking negatif, kita tak mahu buat, kita akur rakyat sudah muak dengan (suasana) politik sekarang,” katanya pada sidang media hari ini.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak V Sivakumar dalam kenyataannya pada 12 Mei lalu mendakwa, pelantikan itu tidak sah dan pembangkang akan mencabar kesahihan pelantikan itu di mahkamah.

Sidang DUN Perak dijadual bermula 10 pagi esok turut menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim yang baharu, Mohd Zaidi Aziz mengangkat sumpah.

Sementara itu mengulas tindakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak permohonan untuk mengisytiharkan darurat selepas menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Aziz berkata keputusan itu tidak boleh dipertikai.

Katanya, kuasa Agong untuk tidak menerima nasihat perdana menteri bagi mengisytiharkan darurat tidak boleh dicabar di mahkamah.

Beliau berkata, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong dalam hal itu.

“Sama ada menerima nasihat (perdana menteri) atau tidak, itu perkara lain, kalau Agong membuat keputusan untuk berkata tidak maka ia adalah tidak, ia tak boleh dicabar,” katanya.

Katanya, undang-undang itu kekal sejak negara mencapai kemerdekaan hingga hari ini dan kuasa mengisytihar darurat tidak boleh dicabar oleh sesiapa.

Menurutnya, dalam hal itu juga Jabatan Perdana Menteri sepatutnya tidak perlu mengeluarkan kenyataan media mengenai keputusan dibuat Agong kerana ia sudah muktamad dan tidak perlu lagi dibincangkan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/26/pembangkang-tak-boikot-sidang-dun-perak-esok/

COMMENTS