Setelah 36 tahun beroperasi, Sony Perai akan tutup menjelang september

Setelah 36 tahun beroperasi, Sony Perai akan tutup menjelang september

Kilang Sony di Pulau Pinang yang menghasilkan produk audio seperti walkman untuk pasaran eksport dan tempatan, akan ditutup September tahun depan selepas 36 tahun beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan Halim Hussain berkata, penutupan kilang Sony di Perai itu menyebabkan hampir 3,400 pekerja akan diberhentikan.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata 1,800 pekerja ialah penduduk tempatan manakala 1,600 terdiri daripada warga asing.

“Sebilangan pekerja ini akan dipindahkan ke kilang Sony di Bangi. Kerajaan negeri akan membantu mereka yang diberhentikan untuk mencari pekerjaan baru,” katanya.

Walaupun Sony belum mengeluarkan kenyataan, Halim berkata kilang itu akan ditutup secara berperingkat dan menghentikan operasi sepenuhnya pada September.

“Ini ialah sebahagian daripada rancangan Sony untuk menyusun semula operasinya secara global.”

Beliau percaya penutupan itu adalah proses sementara yang diperlukan, memandangkan persaingan sengit dalam industri pembuatan multinasional.

Halim berkata, negeri itu memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) RM10 bilion tahun ini, lebih daripada 9,000 pekerjaan akan dijana dalam masa terdekat dan ada harapan bagi mereka yang diberhentikan.

FMT menghubungi Sony Malaysia untuk mendapatkan komen.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/03/sony-akan-tutup-kilang-di-p-pinang-selepas-36-tahun-3400-pekerja-terjejas/

COMMENTS