Semalam PM umum total lockdown, hari ni pasar raya mula di penuhi

Semalam PM umum total lockdown, hari ni pasar raya mula di penuhi

Jumlah kehadiran pengunjung di pasar dan pasar raya di sekitar negeri ini dilihat bertambah berbanding biasa selepas kerajaan semalam mengumumkan ‘total lockdown’ bermula Selasa ini.

Tinjauan Kosmo! di beberapa buah pasar dan pasar raya di sekitar Seberang Jaya dan Butterworth di sini mendapati terdapat segelintir orang ramai melakukan pembelian barangan dalam kuantiti banyak.

Mereka juga dilihat sanggup beratur panjang bagi memasuki pasar raya yang dibuka sejak pukul 8 pagi.

Bagaimanapun situasi itu didapati terkawal apabila pihak pengurusan pasar raya mengawal kemasukan pelanggan dengan memberi tag bernombor.

Pengunjung juga dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa beratur dan di dalam premis.

Seorang pelanggan sebuah pasar raya di Seberang Jaya di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 42, berkata, dia sanggup beratur panjang bagi mengelakkan barang keperluan habis.

“Setakat ini saya hanya mendengar pengumuman ‘total lockdown’ dan tiada pengumuman susulan berhubung operasi perkhidmatan essential, jadi saya rasa tidak salah jika membeli keperluan dapur lebih sedikit sebagai persediaan,” katanya kepada Kosmo!

Pejabat Perdana Menteri, semalam mengeluarkan kenyataan berhubung pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Ia diputuskan semasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghappar berkata, pihaknya yang melakukan pemantauan di seluruh negeri mendapati situasi masih terkawal biarpun terdapat peningkatan pengguna.

“Terdapat tempat yang terpaksa beratur panjang kerana pihak pasar raya melakukan pematuhan SOP yang baik dan kawalan pengguna.

“Kita menyeru pengguna agar tidak panik dan tidak membuat pembelian berlebihan kerana pasar raya dan peruncitan adalah sektor essential untuk menjual barang keperluan asas sepanjang lockdown,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/05/29/orang-ramai-beratur-panjang-di-pulau-pinang/

COMMENTS