Seludup dadah dalam penjara, 7 ditahan termasuk penjawat awam

Seludup dadah dalam penjara, 7 ditahan termasuk penjawat awam. Seorang penjawat awam antara tujuh ditahan terlibat sindiket penyeludupan dadah dalam penjara selepas polis menahan seorang tahanan reman dan melakukan lima serbuan berasingan sekitar daerah ini, 15 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan tersebut terbongkar selepas sepasukan anggota dari polis cawangan mahkamah di sini menjalankan pemeriksaan terhadap seorang tahanan reman pada jam 10.30 pagi.

Menerusi pemeriksaan terhadap orang kena tahan (OKT) reman Penjara Koreksional Ulu Choh yang selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Johor Bahru, menemukan sembilan biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah yang disembunyikan dalam seluar dalam OKT.

“OKT tersebut juga menelan sejumlah dadah berbentuk ‘barrel’ dalam badannya semasa di Kompleks Mahkamah Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai diberikan suspek semasa OKT di mahkamah dengan mengambil kesempatan ketika turun dan sebelum menaiki van atau lori polis untuk dihantar semula ke penjara.

Seludup dadah dalam penjara, 7 ditahan termasuk penjawat awam

“OKT berkenaan dibawa ke hospital sebelum dibedah dan berjaya mengeluarkan enam biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah dari dalam perutnya,” katanya.

Antara barang yang dirampas dalam lima serbuan berasingan selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam penjara.

Antara barang yang dirampas dalam lima serbuan berasingan selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam penjara.

Susulan itu katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan membuat lima serbuan berasingan dan menahan enam individu.

“Mereka yang ditahan merupakan tiga lelaki tempatan termasuk penjawat awam terbabit dan tiga wanita tempatan berusia antara 25 hingga 37 tahun.

Kamarul Zaman menunjukkan foto suspek yang tujuh ditahan terlibat sindiket penyeludupan dadah dalam penjara.

“Polis turut merampas ganja seberat 44.74 gram bernilai RM12,237 serta syabu seberat 28.84 gram bernilai RM12,884 manakala keseluruhan dadah itu bernilai RM3,800,” katanya.

Jelasnya, hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“OKT berkenaan pula mempunyai kes berkaitan dadah. Modus operandi mereka adalah dengan menelan dadah dalam bentuk ‘barrel’ dan dadah itu akan dibawa masuk ke penjara setelah selesai perbicaraan di mahkamah untuk diedarkan.

“Kita masih menyiasat sudah berapa lama sindiket ini beroperasi termasuk sama ada masih ada saki baki ahli sindiket ini. Semua suspek direman enam hari bermula 15 hingga 20 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, bermula Januari hingga 18 Disember, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor berjaya membuat tangkapan seramai 14,175 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

“Dalam tempoh itu juga pihak polis berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 4.25 tan.

‘Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM12.1T juta. Turut disita harta sindiket dadah bernilai RM 10.95 juta,”

BACA:

Buah banyak sangat, peniaga terpaksa bagi durian free kepada orang ramai

Firdaus Wong dedah mesej Ebit Lew, ‘Minta husband ceraikan you, I bayar you’

Anwar teruskan proses saman fitnah terhadap Muhyiddin