Selepas 17 tahun baru dapat anak kedua, anak sulung dah SPM dah

Selepas 17 tahun baru dapat anak kedua, anak sulung dah SPM dah.“Kami tidak pernah merancang.” Syukur ada rezeki timang anak kedua selepas 17 tahun penantian. Tiada kata selain rasa syukur tak terhingga apabila sekali lagi diberi peluang menimang cahaya mata.

Benarlah jika sudah rezeki tak ke mana dan inilah Ketentuan Allah. Siapa sangka selepas 17 tahun menanti, Allah takdirkan sekali lagi menimang cahaya mata buat kali kedua.

Rezeki Anak Kedua
Rezeki datang tanpa diduga buat pasangan suami isteri, Norhafizi Mohamed dan Siti Aisyah Ibrahim apabila dikurniakan bayi perempuan selepas 17 tahun menunggu.

Kisahnya tular di TikTok selepas Siti Aisyah, 40, memuat naik video anak sulung, Muhammad Akmal Danial, 17, dan Nur Ayra Delisha yang dilahirkan pada 28 Ogos lalu.

Menurut Norhafizi, 44, yang menetap di Kampung Gong Kepas, Jertih, Terengganu, anak sulungnya dilahirkan pada 2004 iaitu tahun pertama perkahwinan mereka.

Selepas 17 tahun baru dapat anak kedua, anak sulung dah SPM dah

Kami Tidak Pernah Merancang
Menurutnya, dia dan isteri memang mengimpikan zuriat lagi cuma tiada rezeki buat mereka selepas itu.

“Kami tidak merancang dan isteri pernah hamil pada 2008 tetapi kandungannya itu keguguran dan dianggap kami tiada rezeki untuk menimang cahaya mata kedua ketika itu.

“Selepas mengalami keguguran, isteri tidak hamil dan bagi mendapatkan kepastian, kami bertemu pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan selain berikhtiar dengan menjalani rawatan kesuburan, Inseminasi Intrauterine (IUI).

“Bagaimanapun, masih tiada hasil namun kami tidak berputus asa malah teruskan hidup dengan membesarkan dan beri kasih sayang kepada Muhammad Akmal Danial,” katanya.

Selepas 17 Tahun Penantian
Berkongsi pengalamannya sejak ada cahaya mata kedua, Norhafizi mengakui agak kekok kerana sudah lama tidak menjaga dan menguruskan keperluan bayi.

Bagaimanapun, Norhafizi bersyukur kerana ada banyak waktu bersama anak keduanya itu memandangkan sudah bersara sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Mei tahun lalu.

“Bukan hanya saya malah isteri juga kekok kerana sudah lama tidak menguruskan bayi dan berjaga malam untuk menyediakan keperluannya.

“Seolah-olah kami baru pertama kali menimang cahaya mata walaupun pada hakikatnya pernah mempunyai pengalaman sebelum ini.

“Mujurlah saya sudah bersara jadi ada banyak masa bersama bayi kerana isteri bekerja sebagai jururawat di klinik kesihatan dan tidak lama lagi akan kembali bertugas selepas tamat cuti,” katanya.

Mulanya Tidak Gembira
Menceritakan penerimaan anak sulungnya, Norhafizi berkata, Muhammad Akmal Danial tidak gembira ketika kali pertama dapat tahu akan ada adik.

“Mulanya dia (Muhammad Akmal Danial) agak memberontak kerana bimbang kami beri perhatian lebih kepada adiknya kerana sebelum ini, dia anak tunggal jadi tumpuan untuknya saja.

“Bagaimanapun, segalanya berubah selepas Nur Ayra Delisha dilahirkan apabila Muhammad Akmal Danial yang paling teruja dan dia juga banyak menghabiskan masa melayan keletah adiknya itu di rumah.

“Sebagai bapa, saya suka melihat keakraban mereka berdua dan gembira apabila Muhammad Akmal Danial sudah ada teman baru di rumah lagipun kasihan juga kepadanya sebelum ini kerana sering diusik rakan gara-gara menjadi anak tunggal,” katanya.

Anugerah Terindah
Norhafizi menganggap kehadiran Nur Ayra Delisha dalam hidupnya dan isteri sebagai anugerah terindah yang menceriakan keluarga.

“Ini ketentuan Ilahi dan kelahiran Nur Ayra Delisha membuatkan seluruh keluarga teruja terutama keluarga belah saya kerana kebanyakan anak saudara sudah besar.

“Bagi pasangan di luar sana yang lalui perjalanan sama seperti saya dan isteri supaya bersabar, jangan putus asa dan terus berdoa kepada Allah,” katanya.

@ainn_aisya Selamat hari lahir my darling….😘😘 Hadiah tak ternilai buat abang. #birthday #ttc #fypシ #pasirmaskelantan #geweorekelate #satuhatisampaimati ♬ bunyi asal – ainn_aisya

BACA:

Wanita ini jumpa berlian ketika cari kayu api, tak sangka nilainya RM111,560

Banduan wanita dakwa pegawai penjara beri kunci sel kepada banduan lelaki

Kakitangan awam bakal naik gaji sebelum PRU, ini jawapan JPA