Selangor cadang naikkan denda pencemar air kepada RM1 juta

Selangor cadang naikkan denda pencemar air kepada RM1 juta

Kerajaan negeri hari ini berkata mereka akan meningkatkan kadar hukuman ke atas pihak yang terbabit mencemar air di negeri itu melalui pindaan Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Menteri Besar Amirudin Shari berkata melalui pindaan itu jumlah denda ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu akan dinaikkan menjadi minimum RM200,000 hingga maksimum RM1 juta.

Ketika ini undang-undang memperuntukkan jumlah denda maksimum RM500,000 namun tiada jumlah minimum ditetapkan.

Kata Amirudin memandangkan kesalahan mengikut seksyen 79 itu merupakan sesuatu yang berat, hukuman penjara dijadikan mandatori.

” Hukuman ini akan menjadi deterrent factor (faktor pencegah) bagi menghalang mana-mana pihak dari melakukan apa-apa pencemaran ke atas sumber air,” katanya.

Menurut Amirudin pindaan itu akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada bulan depan.

“Bulan 11 kita (kerajaan negeri) akan tingkatkan lebih tinggi (denda) selepas ia dibentangkan,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas kejadian pencemaran air mentah berlaku buat kali kedua di Selangor pada bulan ini menyebabkan berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia menjejaskan hampir 1.2 juta akaun pengguna Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Bekalan itu bagaimanapun berjaya dipulihkan secara berperingkat dan dijangka selesai esok.

Kata Amirudin kerajaan negeri juga mengarahkan Air Selangor meningkatkan proses pemantauan 24 jam sehari di dua lembangan berkaitan untuk mengelakkan kejadian pencemaran pada masa akan datang.

Untuk melaksanakan tugas itu, katanya, seramai 20 petugas sepenuh masa dan kontrak akan digerakkan.

“Justeru kekerapan pengawasan terhadap kawasan itu akan bertambah dengan lebih baik, (jika beraku pencemaran) kita dapat kesan lebih awal,” katanya.

Air Selangor juga kata Amirudin akan mengenal pasti kawasan tertentu untuk dijadikan pusat pemantauan berkenaan.

“Kerajaan negeri berharap pemantauan berterusan ni akan dapat mengurangkan risiko pencemaran,” katanya.

Dalam sidang media itu juga Amirudin ditanya mengenai kemungkinan Air Selangor memberikan diskaun kepada pengguna ekoran gangguan bekalan yang berlaku.

Kata menteri besar hal itu ada dibincangkan namun keputusan mengenainya akan dibuat selepas ini.

Pun begitu Amirudin membayangkan kerajaan negeri tidak cenderung kepada cadangan tersebut.

“Kalau kita bagi diskaun RM2 (untuk setiap akaun), kami perlukan kos RM4 juta.

“Daripada begitu lebih baik kita gunakan RM4 juta ini untuk menambah pegawai yang boleh mengesan pencemaran sejak awal atau sekat laluan air daripada masuk ke (loji) dan pam keluar,” katanya.

Amirudin juga menafikan kerajaan negeri dan Air Selangor tidak bertindak dengan berkesan untuk menghalang pencemaran terus berlaku di Selangor.

Katanya, pencemaran terbaru dikesan kakitangan Air Selangor di lokasi yang terletak 4km dari tempat pengambilan air dikenalikan syarikat berkenaan.

Mengakui faham dengan rasa tidak puas hati orang ramai, menteri besar berkata, kerajaan negeri bertindak sewajarnya untuk menangani isu berkenaan secepat mungkin.

“Kita fokus terhadap penyelesaian masalah… kemarahan mereka – ya saya tahu mereka marah – tetapi kita nak selesaikan secara sistemik, bukan hanya dengan gimik,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/547494

COMMENTS