Sejak bila berdiri pegang sehelai kertas jadi kesalahan di negara ini?

Sejak bila berdiri pegang sehelai kertas jadi kesalahan di negara ini?

Apabila mendapat perkhabaran tentang penangkapan Sdr Mukmin Nantang semalam, saya tidak terkejut.

Kerana beliau beberapa kali ditahan kerana perjuangan yang dipilihnya.

Tetapi yang mengejutkan apabila dia ditahan hanya kerana berdiri menyuarakan rasa hati rakyat yang terkesan teruk kerana PKPD.

Sejak bila berdiri mengangkat sekeping kertas menjadi kesalahan di negara ini? sejak bila menyuarakan suara hati rakyat dengan berdiri di jalan menjadi satu jenayah? Apakah kerana alasan darurat maka demokrasi bukan lagi menjadi sistem anutan di negara ini?

Jika yang berkuasa memilih untuk bersuara, tidaklah perlu rakyat turun membantah.

Tetapi kerana yang dulunya hebat dijalanan, melaungkan slogan hidup rakyat, berjuang atas nama agama katanya, memilih diam membungkam, bersama ghanimah yang mengenyangkan, anak-anak muda ini tidak punya pilihan.

Ada sang ayah yang rungsing kehilangan pendapatan, ibu yang buntu memikir apa yang ada untuk ‘sungkaian’, anak-anak yang dicatu makanan, tetapi tiada yang berani ke hadapan, kecuali anak-anak muda ini.

Buat teman-teman yang sekarang menjadi ‘orang’ kerajaan, khususnya buat sahabat-sahabat yang menjulang panji agama dulunya, jangan kerana kuasa, kamu hanya tinggal melihat kerana suaramu terbisukan dek kuasa dan kedudukan.

Aku hanya ingin mengingatkan , kepada satu ayat yang kamu sering ulang di dalam usrah dan tazkirah, agar menjadi pengingat kepada kamu dan aku.

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.”
(QS. Hud ayat 113)

Kita bukan hanya dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita lakukan, tetapi diam dan membisunya kita melihat penindasan akan menjadi pemberat ketika kita bertemu Tuhan.

Apabila akal dibodohkan
Suara dibisukan
Tangan dipenjarakan
hanya ada pilihan
bangkit melawan
atau tunduk terhinakan.

Sumber :

COMMENTS