Sanusi sahkan Kedah tidak bubar DUN

Sanusi sahkan Kedah tidak bubar DUN. Kedah mengesahkan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, telah sembah maklum berhubung hasrat itu ketika mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah secara dalam talian pada Selasa lepas.

Muhammad Sanusi berkata, ketetapan tidak membubarkan DUN berkenaan diambil Kedah dengan mengambil kira ramalan banjir dikeluarkan Jabatan Meteorogi Malaysia (MetMalaysia).

“Kita tidak akan bubar tahun ini kerana akan menghadapi banjir (berdasarkan) ramalan (Jabatan) Meteorologi. Saya maklumkan kepada Tuanku beberapa negeri termasuk Kedah membuat keputusan mengadakan pilihan raya pada tahun depan.

“Tuanku maklum itu kuasa menteri besar dan terpulang ke menteri besar. Itu sahajalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Jelajah Sejahtera di Dataran Masjid Nurul Ihsan, Langgar, di sini, pada Jumaat.

Sanusi sahkan Kedah tidak bubar DUN

Hadir sama, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Wan Romani Wan Salin.

Menurut Muhammad Sanusi, pihaknya menerima laporan daripada MetMalaysia bahawa akan berlaku monsun yang menyebabkan banjir di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Ia sukar diramal. Sekarang ini, sudah tidak akan kemarau empat bulan, hujan tiga bulan. Dia kemarau ikut dan (tidak menentu), hujan pun ikut dan (tidak menentu).

“Apabila Jabatan Meteorologi buat ramalan bahawa Oktober hingga Mac akan berlaku banjir besar, semua agensi terlibat. Namun, ada yang ajak kempen ketika banjir dan nak redah juga kalau banjir.

“Tunggulah air surut. Apabila jabatan berkaitan kata sampai bulan Mac, buatlah (pilihan raya) bulan April. Semasa itu semua orang boleh pergi mengundi dan kita pun senang nak pergi kempen,” katanya.

Beliau meluahkan rasa bimbang terhadap golongan wanita yang terpaksa bersusah payah termasuklah menaiki bot ke pusat pemindahan untuk mengundi sekiranya pilihan raya diadakan ketika banjir.

Ujar beliau, kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN Kedah sehingga Mac 2023, selepas itu baru akan dipertimbangkan untuk pembubaran.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan akan meneruskan kerja pentadbiran dan pengurusan negeri seperti biasa memandangkan DUN akan dibubarkan sehingga tamat penggal.

“Untuk DUN ‘tidak gaduh’ pilihan raya sampai tahun depan tetapi kerana mereka ini ingin bubar Parlimen, maka penduduk mungkin kena keluar juga mengundi,”katanya.

Pada Jumaat, Pas dilaporkan membuat ketetapan tidak membubarkan DUN di tiga negeri ditadbir parti berkenaan sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, ketetapan itu menyusul selepas negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang membuat keputusan sama pada Rabu.

BACA:

Polis cari pemandu Alza, ini yang pemandu itu lakukan sehingga polis pun cari…

Budak skema ini buktikan dia ‘tidak kayu’, buktikan boleh menari

Najib Razak lupa dia banduan, fail permohonan cabar keputusan jabatan penjara