Rasuah : 3 penjawat awam didakwa di mahkamah

Rasuah : 3 penjawat awam didakwa di mahkamah. Dua Penolong Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak mengaku tidak bersalah bagi tuduhan menerima rasuah masing-masing RM4,500 dan RM1,500, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Abd Razak Mohd Darom, 40, dan Muhammad Faizal Abd Razak, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abd Razak didakwa diberikan wang suapan RM4,500 daripada kerani di Kolej Vokasional Pagoh, Siti Aminah Nahar, 39, sebagai bayaran bagi perkhidmatan penyediaan makan jamuan atau mesyuarat bagi Seminar Kecemerlangan Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) 2019.

Manakala Muhammad Faizal, didakwa diberikan wang suapan RM1,500 daripada Siti Aminah, sebagai bayaran perkhidmatan sama untuk Bengkel Kerja Pengurusan Strategik PPD Tangkak.

Kedua-dua mereka didakwa tahu bahawa program berkenaan tidak dilaksanakan dan gagal melaporkan pemberian wang sogokan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rasuah : 3 penjawat awam didakwa di mahkamah

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Siti Aminah pula mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan utama memalsukan dokumen iaitu permohonan pesanan kerajaan, dokumen pembelian terus dan invois pembekal serta pesanan penghantaran yang keseluruhannya membabitkan jumlah RM12,273.02 dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk tujuan menipu.

Ibu tujuh anak itu didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut mengaku tidak bersalah bagi empat pertuduhan pilihan, dengan curang menggunakan semua dokumen terbabit sebagai tulen yang mana dia tahu ia adalah palsu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di PPD Tangkak antara Ogos 2019 hingga Disember 2019.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor memaklumkan, kesalahan di bawah seksyen-seksyen dihadapi semua tertuduh tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah RM10,000 bagi Abd Razak dan Muhammad Faizal, serta RM40,000 bagi Siti Aminah, jika mahkamah membenarkan mereka dijamin berserta dua syarat tambahan.

Peguam Hazza Khalid yang mewakili Abd Razak dan Muhammad Faizal memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin dengan alasan-alasan mereka masih bertugas di PPD Tangkak dan mempunyai tanggungan keluarga.

“Tertuduh Abd Razak sudah berkhidmat selama 15 tahun dengan pendapatan bersih RM5,793.80. Dia mempunyai isteri dan empat anak yang mana seorang daripadanya menghidap barah.

“Tertuduh Muhammad Faizal pula berkhidmat selama 11 tahun dan berpendapatan RM4,041. Dia juga mempunyai isteri dan empat anak selain menanggung ibunya,” katanya yang memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Peguam Hamdan Indah yang mewakili Siti Aminah pula memohon jumlah jaminan RM20,000 dan memaklumkan seorang daripada anak tertuduh menghidap barah.

Mahkamah kemudian membenarkan Abd Razak dan Muhammad Faizal diikat jamin RM5,000 setiap seorang, manakala Siti Aminah diikat jamin RM20,000.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan pasport antarabangsa semua tertuduh diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di SPRM Segamat setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 12 dan 19 Januari depan.

BACA:

90 minit bertarung, pemancing puas dapat naikkan patin 190kg

Ajaran Millah Ibrahim, ini bahaya ajaran sesat tersebut

Moratorium 6 bulan ditawarkan kepada mangsa banjir – Agrobank