Rahsia wanita ini dikurnia umur hidup lebih seabad

Rahsia wanita ini dikurnia umur hidup lebih seabad

Diari kehidupan wanita warga emas ini sejak lebih sembilan dekad lalu banyak dipenuhi dengan amalan berzikir dan mengalunkan ayat suci al-Quran.

Malah, Siti Meriam Jusoh yang mendakwa usianya 110 tahun bersyukur tidak mengalami sebarang penyakit kronik kerana turut mengambil makanan sihat sejak muda.

Dia yang berasal dari Kampung Pasir Golok, Ketereh di sini bersyukur dikurnia umur yang panjang dan masih boleh berjalan walaupun bongkok.

Katanya, secara rasmi usianya yang berdaftar adalah 96 tahun, namun dakwanya dia sudah mencecah 110 tahun berdasarkan lambang ‘*’ pada hujung nombor kad pengenalan.

“Sejak muda zikir dan membaca ayat suci al-Quran tidak pernah tinggal, terutama ketika duduk bersendirian di rumah. Suatu ketika dahulu mak cik pernah menjadi guru mengaji kepada anak penduduk kampung.

“Bagaimanapun disebabkan faktor usia, pergerakan mak cik pun sedikit terbatas kerana keadaan fizikal dan berjalan pun bongkok. Kedua-dua mata kabur sejak tiga tahun lalu dan pendengarannya juga kurang jelas.

“Walaupun semakin lemah, mak cik tidak pernah meninggalkan amalan wajib iaitu solat fardu lima waktu meskipun terpaksa menunaikannya secara duduk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Ibu kepada tiga anak, enam cucu dan 20 cicit itu berkata, anak bongsunya, Saudah Jusoh, 73, kini tinggal bersamanya selepas kematian suaminya sejak beberapa tahun lalu.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/710390/al-quran-zikir-jadi-amalan-wanita-hidup-lebih-seadab

Menurutnya, mereka saling bergantung terutama selepas Saudah diserang angin ahmar pada Ogos 2020 yang menyebabkan lumpuh sebelah kanan badan.

“Dalam masa sama, cucu yang tinggal berdekatan akan bergilir-gilir tidur di rumah ini,” katanya yang memberitahu dia dikelilingi ahli keluarga yang penyayang dan sentiasa mengambil berat.

Siti Meriam berkata, makan minumnya dan Saudah diuruskan cucu yang tinggal berdekatan.

Sementara itu, cucu perempuannya, Siti Sarwani Abdullah, 41, berkata, dia bertanggungjawab memantau keadaan neneknya itu dan akan melawat melawat wanita itu setiap hari.

Katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana wanita itu masih sihat dan menganggap dia seorang yang sangat istimewa.

COMMENTS