Rafiq dijangka ‘melompat’ ke kerusi Telok Mas

Rafiq dijangka ‘melompat’ ke kerusi Telok Mas

Rafiq dijangka ‘melompat’ ke kerusi Telok Mas.Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen didakwa tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Sebaliknya Pengerusi Bersatu Melaka itu lebih berminat untuk merampas kerusi DUN Telok Mas daripada penyandangnya, Datuk Noor Effandi Ahmad yang hilang keahlian Bersatu, 4 Oktober lalu, menurut sumber dalaman yang mendedahkannya kepada MalaysiaGazette.

Ia susulan tindakan Noor Effandi bersama empat wakil rakyat lain menyatakan hilang sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Walaupun Mohd Rafiq mendapat majoriti besar iaitu 4,259 undi di DUN Paya Rumput, namun beliau tetap mahu bertanding di DUN Telok Mas yang dimenangi Noor Effandi dengan majoriti 1,288 undi menggunakan tiket Bersatu pada PRU14 lepas.

“Sebab utama Mohd Rafiq mahu lari DUN Paya Rumput kerana beliau sendiri seorang pemimpin bermasalah dan mempunyai ramai musuh, baik di dalam Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) mahupun Bersatu sendiri,” dakwa sumber kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sumber juga mendedahkan, PRN Melaka semakin menarik kerana Mohd Rafiq didakwa cuba berebut kerusi DUN Telok Mas dengan Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim yang berhasrat bertanding di kampung kelahirannya pada 20 November ini.

“Jika keadaan ini tidak dibendung, pergolakan dalaman PN dan Bersatu tidak dapat dielakkan, pertelingkahan ini hanya akan merugikan PN Melaka, jauh sekali untuk membentuk kerajaan di Melaka.

“Walaupun Datuk Hishamuddin akur kepada arahan parti, namun beliau tidak akan sesekali menyerahkan bilik gerakan dan akar umbinya untuk membantu memenangkan Mohd Rafiq di DUN Telok Mas,” kata sumber.

Sumber juga memberitahu, pergolakan dalaman itu bukan sahaja berlaku di dalam PN, bahkan UMNO-Barisan Nasional (BN) turut berdepan dengan kemelut untuk memilih calon boleh menang dan layak ditampilkan pada PRN Melaka.

Sumber mendedahkan, lebih mengejutkan apabila Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh kini sedang rancak melakukan pembersihan dalaman UMNO khususnya calon ADUN Melaka yang pro kepada Datuk Seri Idris Haron.

“Sekurang-kurangnya ada enam ADUN UMNO yang menang pada PRU14 akan digugurkan sebagai calon UMNO pada PRN Melaka kali ini.

“Ini kerana mereka ini dipilih semasa pentadbiran Datuk Seri Idris Haron ketika menjadi Ketua Menteri Melaka sebelum ini,” kata sumber.

BacaKerana pangkat, tergamak beri bos tidur dengan isterinya

COMMENTS