Pusat beli-belah ditutup sepanjang PKP

Pusat beli-belah ditutup sepanjang PKP

Semua pusat membeli-belah akan ditutup sepanjang tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama yang akan dikuatkuasakan bermula Selasa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penutupan tersebut bagaimanapun tidak akan melibatkan beberapa premis yang mempunyai seksyen barangan keperluan harian.

“Hanya premis, pasar raya, pasar raya besar yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, pasar mini dan restoran untuk belian bungkus dan penghantaran ke rumah akan dibenarkan beroperasi.

“Turut dibenarkan beroperasi adalah dobi termasuk dobi layan diri, kedai penjagaan dan makanan haiwan, kedai cermin mata dan barangan optik serta kedai perkakasan (hardware),”katanya pada satu sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah hari ini.

Tambah Ismail Sabri, premis yang turut dibenarkan untuk beroperasi adalah bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti serta E-dagang melibatkan semua kategori produk serta pemborongan dan pengedaran melibatkan perkhidmatan perlu sahaja.

“Kesemua sektor perniagaan ini akan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh total lockdown dikuatkuasakan dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam sahaja,” jelas beliau.

Terdahulu, kerajaan pada 28 Mei lalu mengumumkan total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata, sepanjang total lockdown itu berkuat kuasa, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/05/30/pusat-beli-belah-ditutup-sepanjang-tempoh-lockdown/

COMMENTS