Program Bakul Makanan gagal berjalan, rakyat Sabah berdepan risiko kebuluran

Program Bakul Makanan gagal berjalan, rakyat Sabah berdepan risiko kebuluran

Saya memandang serius darihal bagaimana Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengendalikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) ketika ini khususnya di beberapa buah daerah di Sabah.

Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mendapati masih terdapat penularan kes Covid-19 di kawasan-kawasan berkenaan. Namun, yang menjadi masalah serta ancaman paling besar kini adalah kelemahan kerajaan dalam menyalurkan bantuan ke seluruh kawasan yang terlibat.

Program Bakul Makanan misalnya dilihat gagal berjalan secara berkesan, bahkan gagal sampai kepada setiap mangsa yang sepatutnya menjadi sasaran dan keutamaan pada masa kritikal seperti ini.

Perlu diinsafi bahawa kebanyakan rakyat Sabah masih berada pada tahap kemiskinan, menyara kehidupan dengan bekerja harian. Kais pagi makan pagi, kais petang makan malam. Justeru, situasi PKPD akan mengakibat kebanyakan mereka akan hilang sumber mata pencarian sekaligus tiada apa yang boleh disajikan di atas “meja makan”!

Ditambah dengan langkah pelaksanaan PKPD yang kini sudah berlanjutan dan akan dipanjangkan lagi tempoh dari 24 Oktober sehingga 6 November 2020 iaitu 2 minggu, ia akan menjadi malapetaka besar kepada rakyat kita di sana.

Adalah penting untuk Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah SEGERA mempertingkatkan penyampaian bantuan makanan dan hak asasi lain termasuk bekalan perubatan ke setiap pintu rumah rakyat yang terlibat, atau kita akan berhadapan dengan Risiko Kebuluran Rakyat yang bukan sedikit, malah tidak mustahil sehingga ke tahap kehilangan nyawa, bukan akibat penyakit Covid-19, tetapi kerana kelemahan dan kegagalan kerajaan dalam memastikan hak asasi rakyat tidak diabaikan!

SENATOR HJH AIMAN ATHIRAH SABU
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional
Parti Amanah Negara (Amanah)

Kuala Lumpur,
23 Oktober 2020

Sumber :

COMMENTS