Presiden Persatuan Olahraga Selangor dipecat

Presiden Persatuan Olahraga Selangor dipecat

Presiden Persatuan Olahraga Selangor dipecat.Persatuan Olahraga Selangor (POS) hari ini menyingkir SM Muthu daripada jawatan presiden dan menarik balik keahlian seumur hidupnya susulan dakwaan penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap persatuan itu.

Keputusan terhadap Muthu, yang juga Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) dan dua lagi pegawai POS dibuat sebulat suara dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) persatuan itu yang dihadiri 39 ahli.

Pengerusi bebas EGM yang dilantik, Mohamad Zufarsyah Mohamad Idrakisyah mendakwa penyelewengan itu melibatkan dana berjumlah RM110,000 daripada akaun simpanan tetap POS dan dana pembangunan yang diterima daripada Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Tiga usul diketengahkan, iaitu menamatkan jawatan presiden SM Muthu dan menarik balik keahlian beliau seumur hidup. Usul sama juga dibuat terhadap bekas Bendahari (Mohd Fauzi Manivannan Abdullah) dan bekas Setiausaha (Abdul Rahim Mohd Noor) POS,” katanya kepada Bernama selepas EGM POS di Wisma OCM di sini.

Beliau berkata, beberapa dokumen juga dikemukakan sebagai bukti penyelewengan dana itu dalam mesyuarat tiga jam yang berlangsung dalam keadaan tegang.

Sementara itu, Naib Presiden POS, Warughese Abraham berkata, persatuan itu akan membuat laporan polis dan membawanya kepada perhatian Pesuruhjaya Sukan.

Sementara itu, Muthu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai isu berkenaan.

Sumber :FMT

 

Baca :Mamat Khalid Di laporkan meninggal dunia

COMMENTS