Presiden dan pengerusi perhubungan umno di kompaun

Presiden dan pengerusi perhubungan umno di kompaun

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 19 November lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan akhbar memaklumkan, ia berikutan video tular di media sosial melibatkan kedua-dua individu tersebut dan siasatan dijalankan mendapati, berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh PRN Melaka di kawasan Masjid Tanah pada hari tersebut.

“Justeru, satu kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 bernilai RM10,000 bagi setiap individu telah dikeluarkan.

“Kompaun dikeluarkan berikutan pelanggaran SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 iaitu menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan KKM menegaskan, SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“KKM akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP,” katanya.

Sehubungan itu, KKM juga menyeru seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada arahan SOP, sentiasa prihatin kepada keselamatan rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia

 

Baca:Pengerusi DAP Melaka umum letak jawatan

COMMENTS