Premis menjual produk kecantikan dikompaun RM25,000

Premis menjual produk kecantikan dikompaun RM25,000

Sebuah premis menjual produk kecantikan di sini dikenakan kompaun RM25,000 kerana beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, premis kecantikan itu bukan dalam kategori perkhidmatan perlu dan dilarang beroperasi sepanjang tempoh PKPD.

“Kesalahan tersebut dikesan oleh pasukan pemantau yang membuat rondaan di sekitar bandar raya Alor Setar pada pukul 2.15 petang, semalam.

“Premis berkenaan dikompaun RM25,000 atas kesalahan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 13 kompaun dikeluarkan pasukan pemantau Op Covid Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar terhadap individu dan premis yang didapati masih ingkar dengan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPD pada semalam dan hari ini.

“Antara kesalahan lain yang dikesan sepanjang dua hari itu antaranya merentas daerah tanpa kebenaran yang sah daripada pihak polis serta beberapa kesalahan lain berkaitan perlanggaran SOP PKPD,” jelasnya.

Tambahnya, penguatkuasaan juga tertumpu di laluan tikus memasuki daerah Kota Setar.

“Hasil daripada pemantauan mendapati beberapa kenderaan dikesan cuba menyusup masuk ke daerah Kota Setar menggunakan laluan bendang yang dijadikan sebagai laluan tikus.

“Hari ini dua individu dikenakan kompaun masing-masing RM5,000 setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen rentas daerah yang sah daripada pihak polis,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan pihak polis turut mendapati jumlah kenderaan agak berkurangan selepas pelaksanaan PKPD di daerah ini.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/05/25/premis-jual-produk-kecantikan-dikompaun-rm25000/

COMMENTS