Polis mulakan siasatan MB Selangor langgar kuarantin

Polis mulakan siasatan MB Selangor langgar kuarantin

Polis mengesahkan siasatan dimulakan berkait Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang sebelum ini akui keluar kuarantin, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Polis Selangor ketika dihubungi FMT memaklumkan kes itu disiasat Bukit Aman.

“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmad ketika ditanya perkembangan siasatannya.

Sebelum ini, polis berkata ia akan melihat keperluan untuk menyiasat Amirudin, yang mengaku keluar kuarantin untuk tangani isu pencemaran air, di Twitter.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, memaklumkan polis sedang mendapatkan keterangan dokumen dan saksi kompeten.

Menurut beliau, siasatan dimulakan pada 5 Okt ke atas catatan berkait menteri besar yang tular di media sosial.

Siasatan dikelaskan bawah Seksyen 15 dan Seksyen 22 kerana tidak mematuhi perintah sah.

“Masih dalam siasatan,” katanya.

Amiruddin mengakui keluar kuarantin dalam catatan 4 Okt, ketika lebih 300,000 rakyat Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Beliau turut memohon maaf kerana keluar kuarantin, selepas pulang dari Sabah.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/22/polis-mula-siasat-kes-berkait-mb-selangor-keluar-kuarantin/

COMMENTS