Polis mula siasat selebriti rentas negeri sebab pergi honeymoon di Sabah

Polis mula siasat selebriti rentas negeri sebab pergi honeymoon di Sabah

Baru-baru ini, viral di media sosial dakwaan pasangan selebriti yang baru berkahwin dikatakan merentas negeri untuk berbulan madu di Sabah. Dakwaan mula hangat diperkatakan apabila pasangan tersebut memuat naik foto menunjukkan suasana seakan berada di sebuah pusat peranginan.

Sehubungan dengan itu, pihak polis akan melakukan siasatan terperinci dan memanggil pasangan terbabit untuk memberikan keterangan sebaik mereka tiba di Semenanjung.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada 20 Mac lalu pihaknya ada menerima permohonan rentas negeri dari seorang lelaki ke Sabah atas urusan perniagaan. Permohonan dibuat di Balai Polis Setapak kira-kira jam 5 petang.

Pemohon ada mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat. Berdasarkan dokumen itu, polis meluluskan permohonan rentas negeri yang bermula pada 21 hingga 25 Mac ini.

Bagaimanapun, gambar lelaki berkenaan bersama isterinya berusia 31 tahun kemudian tular di media sosial, semalam.

Pasangan itu dikatakan pergi berbulan madu di kawasan peranginan dan mengakibatkan orang ramai mempertikaikan bagaimana mereka mendapat kebenaran rentas negeri ke Sabah.

Jelasnya lagi, jika pasangan ini didapati memberikan keterangan palsu untuk merentas negeri, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan di atas budi bicara polis dalam memberikan kebenaran rentas negeri bagi urusan perniagaan, kerja atau pun kecemasan.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber:https://ohmedia.my/ohtidak/dakwaan-selebriti-rentas-negeri-honeymoon-di-sabah-polis-buat-siasatan-lanjut/?fbclid=IwAR11mNSgRudGNN1xMPEL-ee0A2dVq4YmwBhZA4onvg68piyFkWlPVTd5DXI

COMMENTS