Polis buru lelaki pukul pencuri

Polis buru lelaki pukul pencuri

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memukul pencuri, dalam kejadian yang tular di media sosial, pada 9 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan berhubung kes berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, suspek sudah dikenal pasti dan sedang dikesan untuk membantu siasatan.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian turut dialu-alukan tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohd Safuan di talian 013-2037908 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di hadapan pasaraya di kawasan Bintawa di sini, mangsa lelaki berumur 29 tahun dipukul dengan kayu dan paip getah oleh suspek, dipercayai akibat mencuri barang.

Katanya, mangsa sakit pada kepala, lebam di belakang badan, bengkak di kedua-dua lengan dan badan, luka di kaki kiri serta siku kiri dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan akan merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan di mahkamah.

Jika sabit kesalahan, katanya, suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/05/816302/lelaki-pukul-pencuri-diburu

COMMENTS