PM Britain kahwini tunang dalam ‘upacara rahsia

PM Britain kahwini tunang dalam ‘upacara rahsia

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengahwini tunangnya, Carrie Symonds dalam satu ‘upacara rahsia’, semalam.

Laporan media United Kingdom (UK) menyatakan Johnson, 56, mengahwini Symonds, 33, di Gereja Katholik Westminster yang dihadiri rakan dan keluarga rapatnya.

Berita perkahwinan itu dilaporkan akhbar Mail on Sunday dan The Sun.

Johnson menjadi Perdana Menteri Britain kedua yang berkahwin ketika memegang jawatan.

Pada 1822, Robert Jenkinson menjadi Perdana Menteri yang pertama berkahwin ketika sedang berkhidmat iaitu hampir dua abad yang lalu.

Perkahwinan Johnson mengejutkan ramai pihak kerana awal minggu ini dilaporkan pasangan itu mengirimkan kad jemputan meminta tetamu ‘simpan tarikh’ untuk perkahwinan mereka pada 30 Julai depan.

Dilaporkan pasangan itu sudah menunggu berbulan-bulan untuk mengikat hubungan mereka selepas rancangan asal untuk berkahwin tahun lalu ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.

Pasangan ini bertunang pada Disember 2019, dan mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun yang diberi nama Wilfred.

Kira-kira 30 tetamu menghadiri upacara perkahwinan itu – menepati syarat maksimum tetamu yang dibenarkan berkumpul untuk satu-satu majlis di bawah peraturan berkaitan COVID-19 di negara itu.

Berlangsung di pusat bandar London, tetamu dijemput pada saat akhir menurut laporan Mail on Sunday.

Sebilangan kecil pegawai gereja terbabit dan pembantu Downing Street tidak diberitahu mengenai majlis itu kata sumber berita akhbar itu.

Tabloid The Sun bagaimanapun melaporkan pasangan itu merancang ‘operasi rahsia’ selama enam bulan sebelum upacara itu berlangsung

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/05/822182/pm-britain-berkahwin-dalam-upacara-rahsia

COMMENTS