PKP : Beberapa babak tidak sempat dirakam, tayangan Kekasih Hati Mr Bodyguard dihentikan sementara

PKP : Beberapa babak tidak sempat dirakam, tayangan Kekasih Hati Mr Bodyguard dihentikan sementara

Akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) hingga 14 Jun ini, drama bersiri Kekasih Hati Mr Bodyguard yang sedang ditayangkan di Slot Lestary TV3 terpaksa dihentikan tayangannya semalam kerana tidak sempat disiapkan sepenuhnya.

Pengarahnya, Nizam Zakaria berkata, drama itu terpaksa dihentikan tayangan di episod sembilan kerana penggambaran membabitkan beberapa babak di kawasan luar tidak sempat dilakukan.

“Jumlah baki penggambaran sekitar 20 peratus saja lagi. Ikutkan babak dalam rumah sudah dirakam hingga episod 20.

“Apa yang berlaku ini memang di luar kawalan saya, penerbit mahupun stesen TV. Kami akur dan menghormati keputusan yang dibuat kerajaan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penggambaran. Memang agak sedih dan kecewa tapi nak buat macam mana, kami terpaksa akur bagi membantu kerajaan dalam mengurangkan penularan Covid-19,” katanya yang akan menyambung semula penggambaran sebaik kebenaran diberikan.

Slot drama 20 episod terbitan Creative Skill Solution yang menampilkan lakonan Redza Rosli dan Sharifah Rose itu digantikan dengan drama ulangan lakonan Nabila Razali, Fahrin Ahmad dan Rozita Che Wan berjudul Kebaya Kasut Kanvas bermula hari ini.

Dalam pada itu, Nizam juga terkejut apabila drama arahannya itu mendapat maklum balas positif sehingga menjadi bualan ramai di media sosial walaupun lakonan Sharifah Rose mendapat kecaman teruk hingga digelar pelakon ‘kayu’ sebelum ini.

Nizam berkata, walaupun ada pihak menggelar pelakon itu ‘kayu’, namun masih ramai yang memuji lakonan bakat baru itu.

“Saya percaya baik atau buruk kepada seseorang itu adalah publisiti. Namun rata-rata komen yang saya terima mereka mempersoal semula di mana kayunya lakonan Sharifah Rose dan apa ukuran untuk lakonan yang baik.

“Bagi saya, gelaran pelakon ‘kayu’ untuk bakat baru sangat tidak adil. Semua orang bermula dari bawah, tidak kira apa bidang sekalipun.

“Kadang-kadang saya rasa penonton yang komen ini memandai-mandai dan mengikut prejudis mereka sendiri.

“Bagi saya, kalau sudah prejudis apa-apa yang mereka tonton pasti tidak senang. Jadi tengoklah dengan minda yang terbuka kerana lakonan Sharifah Rose di mata saya okey walaupun tidaklah cemerlang seperti pelakon senior,” katanya

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/rap/2021/06/713483/tayangan-kekasih-hati-mr-bodyguard-terpaksa-dihentikan-sementara

COMMENTS