PH gesa kerajaan buat rundingan awal belanjawan sebelum bentang di parlimen

PH gesa kerajaan buat rundingan awal belanjawan sebelum bentang di parlimen

Majlis Presiden PH menggesa kerajaan agar segera mengadakan rundingan dengan ahli parlimen pembangkang berhubung Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat November depan.

Gesaan itu dinyatakan dalam kenyataan media yang ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurut PH, gesaan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Maka perdana menteri harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku,” kata Majlis Presiden PH selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR, hari ini.

Majlis Presiden PH juga menyuarakan keyakinan bahawa semua ahli Parlimen dapat berbahas secara sihat bagi memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati titah Sultan Abdullah.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/548620

COMMENTS