Peruntukan untuk pusat tahfiz dan sekolah pondok amatlah mengecewakan

Peruntukan untuk pusat tahfiz dan sekolah pondok amatlah mengecewakan

Parti Amanah Negara (Amanah) kecewa dengan peruntukan RM29 juta untuk sekolah agama dan tahfiz dalam Belanjawan 2021 yang disifatkan terlalu kecil berbanding peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berjumlah RM85 juta.

Pengerusi Amanah Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, ia satu gambaran kerajaan tidak serius dalam memperkasa dan memperbaiki institusi tahfiz yang kebanyakannya berada dalam keadaan daif dan membahayakan pelajar.

“Belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini membawa banyak kekecewaan dari kerajaan yang menjanjikan pembelaan terhadap Melayu Islam. Rakyat mengharapkan pemerkasaan institusi agama yang memerlukan pembelaan seperti pusat tahfiz dan sekolah agama.

“Peruntukan RM29 juta untuk pusat tahfiz dan sekolah pondok amatlah mengecewakan, apatah lagi ia datang dari kerajaan yang mengakui diri mereka kerajaan membela Islam – Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, situasi itu jauh berbeza dengan belanjawan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang memberi peruntukan RM100 juta untuk sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok.

Daripada jumlah itu katanya, pusat tahfiz menerima RM50 juta, sekolah agama rakyat menerima RM25 juta dan sekolah pondok RM25 juta.

“Lebih mengecewakan lagi kerajaan PN (Perikatan Nasional) boleh memperuntukkan RM85 juta untuk JASA, satu badan propaganda politik kerajaan.

“Anehnya kerajaan menyatakan alasan RM85 juta untuk JASA adalah untuk mengutip maklumat tentang rakyat.

“Dengan lebih 70 menteri dan beribu pegawai yang merupakan di antara bilangan menteri dan penjawat awam paling ramai di dunia, adakah keperluan sebenarnya untuk khidmat bernilai RM85 juta dari JASA?” soalnya.

Sehubungan itu bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berharap kerajaan mengambil berat isu berkenaan dan mengembalikan status pusat tahfiz dan pondok sekurang-kurangnya ke tahap ketika pemerintahan kerajaan PH.

“Dengan peruntukan makin berkurangan, ia akan menjejaskan keperluan penyelenggaraan sistem keselamatan di pusat tahfiz dan pondok bagi mengurangkan risiko kebakaran sekaligus menjejaskan mutu serta perkembangan institusi ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/109323/KHAS/Belanjawan-2021/Amanah-kecewa-peruntukan-sekolah-agama-kecil-berbanding-JASA

COMMENTS