Peruntukan JASA lebih elok digunakan beli pelitup muka untuk rakyat

Peruntukan JASA lebih elok digunakan beli pelitup muka untuk rakyat

Peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ketika negara dan rakyat dihimpit oleh krisis kesihatan hanya akan mengundang kemarahan ramai, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, keutamaan yang harus diberikan oleh kerajaan pada saat-saat sukar ini ialah usaha menangani pandemik COVID-19, bukannya mewujudkan unit atau agensi tertentu yang bermatlamat menerangkan dasar-dasar pentadbiran sedia ada kepada rakyat.

Tegas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, peruntukan sebesar itu juga seharusnya digunakan untuk membeli pelitup muka, cecair pensanitasi atau diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Pada zaman krisis ini, di mana peruntukan lebih (diperlukan) untuk selamatkan rakyat, tapi untuk JASA (peruntukan) empat kali ganda berbanding zaman Barisan Nasional (BN) sukar diterima ramai, dan mengundang kemarahan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, beliau boleh menerima sekiranya peruntukan untuk JASA itu juga disalurkan kepada ibu bapa yang tidak mampu menyediakan sarapan yang berkhasiat untuk anak-anak sebagai menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ekoran penutupan sekolah akibat pandemik COVID-19.

Menyifatkan belanjawan kali ini sebagai ‘Belanjawan Perang’, Najib menegaskan, beliau tidak boleh terima cadangan peruntukan sebesar itu untuk JASA dan meminta agar perkara itu dinilai semula oleh Kementerian Kewangan.

Kata Najib, suara rakyat merupakan suara keramat dan perkara yang tidak disenangi rakyat jangan diteruskan oleh kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau mengharapkan agar kesemua pihak, terutamanya dari parti-parti politik agar berhenti menyalahkan satu sama lain, susulan gelombang ketiga COVID-19 di negara ini.

Ujarnya, BN sedar ada pihak yang menyalahkan parti itu kerana cuba mendapatkan kembali Sabah dari Parti Warisan Sabah, sehingga tercetusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan seterusnya menyebabkan penularan kembali mendadak sehingga ke Semenanjung.

“Pihak sebelah sana perlu ingat, Semporna (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) sebut sanggup mati dengan adakan PRN banding serah kembali kuasa. Dan Lahad Datu (Datuk Mohamadin Ketapi) kata jangan takut COVID-19, ia hanyalah propaganda kerajaan Pusat, kes jadi kosong selepas PRN tamat

“Kita juga tidak lupa bahawa pihak lain sebulat suara sokong Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar dan PRN Sabah diadakan. BN yang bantah DUN dibubarkan, sehingga kita mohon tiga kali di mahkamah hentikan PRN,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Najib sekali lagi menggesa agar dihentikan polemik tersebut dan berganding usaha memastikan negara kembali pulih daripada krisis tersebut.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, kerajaan kembali menghidupkan JASA dengan peruntukan RM85.5 juta.

Berdasarkan anggaran perbelanjaan Persekutuan, terdapat dua peruntukan untuk jabatan berkenaan di bawah belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan kedua sebanyak RM81.5 juta di bawah dasar baru.

Jumlah kedua-duanya, iaitu RM85.5 juta adalah peningkatan 185 peratus daripada RM30 juta yang diperuntukkan kepada jabatan itu oleh kerajaan BN di bawah Belanjawan 2018.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2021-rm855-juta-untuk-jasa-baik-beli-pelitup-muka-untuk-rakyat-najib-267733

COMMENTS