Pengusaha kantin sekolah berdepan risiko muflis

Pengusaha kantin sekolah berdepan risiko muflis

Sebahagian daripada 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara berisiko muflis disebabkan tidak mampu membayar semula pembiayaan kewangan secara berterusan.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) Siti Normah Md Desa berkata, antara faktornya adalah disebabkan kebanyakan pengusaha akan tamat kontrak tender hujung tahun ini.

Sedangkan, katanya, perniagaan kantin sekolah teruk terjejas sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu susulan pandemik Covid-19.

“Kebanyakannya pengusaha ini akan tamat kontrak tender mengusahakan kantin sekolah hujung tahun ini.

“Selama PKP dilaksanakan, pengusaha menanggung kerugian teruk. Hanya 20 peratus pendapatan atau ada yang langsung tidak balik modal.

“Memang diakui moratorium sangat membantu namun pada waktu berkenaan ramai pengusaha yang tidak dapat menampung kos operasi.

“Kebanyakan perjanjian tender kontrak selama dua tahun namun tahun ini perniagaan tidak berjalan lancar sedangkan pembiayaan pinjaman bank yang dibuat untuk mengusahakan kantin masih terus dibayar walaupun selepas sudah berakhirnya moratorium. Pinjaman masih terus perlu dibayar,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas membuat aduan di pejabat badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Ikhlas, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dan Timbalan Setiausaha PPKSM Salmah Othman.

Siti Normah berkata, memorandum berhubung isu itu sudah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Setiausaha Sulit Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 25 September lalu namun masih tiada reaksi sewajarnya hingga kini.

“Kami meminta supaya pengusaha sedia ada disambung kontrak dan tak perlulah membuka tender baharu. Ramai yang membuat pembiayaan dua tahun namun sukar meneruskan bayaran sebab perniagaan berjalan lancar hanya setahun (tahun lalu).

“Lebih memburukkan keadaan apabila hak eksklusif yang termaktub dalam perjanjian sewaan kantin untuk mengekang penjualan makanan dan minuman daripada golongan yang tidak sepatutnya antaranya guru, kakitangan sekolah, pelajar, kelab dan terutama persatuan koperasi sekolah tidak dipatuhi.

“Mengikut garis panduan jualan, koperasi tidak sepatutnya menjual makanan dan minuman kerana ia adalah hak kantin,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan perniagaan pihak kantin terjejas seterusnya menyukarkan mereka untuk bangkit kembali selepas empat bulan tidak beroperasi berikutan PKP dan kini disambung PKP Bersyarat (PKPB) yang turut membabitkan banyak sekolah tutup.

Malah, katanya, ada pengusaha yang tenggelam punca sehingga membuat pinjaman peminjaman wang haram seperti along selain meminta bantuan adik-beradik untuk kelangsungan hidup.

Salmah pula berkata, memburukkan keadaan ada guru di sesetengah sekolah mengeluarkan larangan kepada pelajar supaya tidak turun ke kantin pada waktu rehat.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan tiada larangan pun untuk pelajar turun ke kantin cuma tak boleh ‘dine-in’ sahaja.

“Ada pekerja kantin yang berhenti kerja sebab tak sanggup turun naik ke kelas khususnya di bangunan untuk menghantar pesanan pelajar…dah jadi masalah lain pula apabila pekerja lari.

“Selain itu, kami juga menerima laporan daripada pengusaha kantin sekolah berkenaan ada pengetua ‘ambil sikit’ bahagian dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Sudahlah kami dapat sikit, nak diagihkan pula,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya dalam usaha mengumpul permasalahan yang dihadapi pengusaha kantin mengenai isu ini untuk dibangkitkan kepada pihak kerajaan.

“Mereka ini adalah usahawan dan peniaga kecil yang perlu dibantu kerana perniagaan mereka terjejas teruk,” katanya.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/630658/nasib-pengusaha-kantin-sekolah

COMMENTS