Penduduk khuatir rumah tak siap, “Tarikh dah dekat rumah tak nampak lagi”

Penduduk khuatir rumah tak siap, “Tarikh dah dekat rumah tak nampak lagi”. Penduduk di jajaran Sungai Kupang, di sini, yang kehilangan kediaman akibat banjir puing pada 4 Julai lalu melahirkan rasa bimbang apabila proses pembinaan rumah baharu masih belum berjalan.

Tinjauan bersama seorang penerima rumah baharu itu di Desa KEDA Kampung Sadek mendapati kerja-kerja menimbun dan meratakan tanah masih dijalankan dan tiada sebarang bentuk bangunan didirikan.

Menurut Ahmad Lateh, 72, dia sudah beberapa kali melihat keadaan di tapak projek rumah namun mendapati proses pembinaan belum dijalankan.

Katanya, dia khuatir kediaman itu tidak akan siap seperti yang dijangka kerajaan negeri pada Disember ini.

“Sewa rumah yang kami diami sekarang dibayar oleh kerajaan negeri sebanyak RM500 sebulan termasuk bil elektrik dan air selama enam bulan.

Penduduk khuatir rumah tak siap, "Tarikh dah dekat rumah tak nampak lagi"

“Sekiranya rumah baharu tidak siap pada Disember ini, kami mungkin terpaksa membayar duit sewa rumah sendiri sedangkan saya kini hanya mengharapkan anak-anak untuk kelangsungan hidup,” katanya yang kini menyewa rumah di Kampung Iboi.

Pada 4 Ogos lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Puing di Desa KEDA Kampung Sadek.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, rumah baharu bagi menempatkan seramai 12 keluarga mangsa banjir aliran puing yang kehilangan kediaman pada 4 Julai lalu, dijangka siap pada Disember ini.

Rumah terbabit dibina di tanah milik kerajaan negeri dan turut mendapat kerjasama penuh daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Bagi Abd Rahman Said, 71, dia kini menyewa di Taman Bayu Indah selepas rumah yang didiami di Kampung Iboi dihanyutkan arus deras dan turut mengorbankan isterinya, Salmah Mat Akib, 53, anak tiri, Muhammad Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya yang sedang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23.

Katanya, dia tinggal seorang diri dan kerap pulang ke rumah anaknya di Kampung Bukit Iboi agar tidak berasa terlalu sunyi.

“Rumah yang saya sewa sekarang agak jauh, sekiranya rumah di Desa KEDA Kampung Sadek ini dapat disiapkan pada Disember ini, saya pasti lebih gembira dapat kembali tinggal bersama penduduk kampung yang senasib dengan saya.

“Sekarang ini saya hidup hasil ihsan anak-anak, mereka yang banyak membantu saya, saya harap sangat tidak perlu lagi menyewa rumah dan ada rumah sendiri, cuma rumah yang dijanjikan kerajaan negeri saya rasa agak mustahil untuk disiapkan pada Disember ini, sekarang pun sudah di penghujung Oktober, sebuah rumah pun belum didirikan.

“Bagaimana hendak siap 12 rumah dalam masa dua bulan, jika tahun depan baru siap, saya harap kerajaan negeri akan membantu kami terus membayar sewa rumah, ini kerana kebanyakan mangsa hanya mengharapkan bantuan orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pokok getah, tanaman seperti jagung, pisang, durian dan lain-lain yang menjadi sumber pendapatan penduduk turut musnah, jambatan ke kebun belum dibina, jadi sukar untuk tanam semula dan cari sumber pendapatan sendiri, ” katanya.

BACA:

Lelaki kudung tangan bunuh gelandangan ditahan polis

Melayang RM6000, lelaki ini didenda sebab yang tak masuk akal

Pengundi dilarang membawa telefon pintar ketika mengundi – Tun M